PENGUNJUNG SETIA

24 Mei 2011

MSSD LEDANG JUARA BERGANDA

LEDANG – Komitmen dan latihan yang konsisten akhirnya menjadi batu loncatan kepada pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Ledang apabila dinobatkan juara untuk dua kategori dalam Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ) 2011, baru-baru ini.

Pengerusi Teknik Pembangunan Sepak Takraw MSSD Ledang, Khairil Anwar Mohd Lani berkata, julung kalinya dalam sejarah sepak takraw MSSJ hanya satu regu dipertandingkan dalam setiap kategori umur.

Menurutnya, MSSD Ledang mengungguli kategori bawah 12 dan 18 tahun, manakala kategori di bawah 15 tahun pula dimenangi MSSD Batu Pahat.

“Dalam pertandingan akhir bawah 12, MSSD Ledang mempamerkan corak permainan yang mantap sehingga memberikan persaingan yang sengit kepada pasukan MSSD Pontian.

“Asakkan pasukan lawan yang bersungguh-sungguh sedikit pun tidak menggugat kedudukan pasukan Ledang yang akhirnya menyaksikan Ledang berjaya menewaskan pasukan Pontian, 21-7 dan 21-17,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala, bagi kategori bawah 18 tahun, MSSD Ledang menewaskan tuan rumah Kota Tinggi 21-9 dan 21-15.

“Saya berasa bangga dengan kejayaan pasukan ini serta berjaya mempamerkan corak permainan yang mengagumkan.

“Bukan itu sahaja, lebih membanggakan apabila mereka berjaya mengekalkan corak permainan yang konsisten dalam beberapa kejohanan yang disertainya,” katanya.

Pihaknya berharap pasukan tersebut akan menjadi aset kepada pelapis pasukan kebangsaan kelak.

“Tujuh pemain MSSD Ledang akan mewakili negeri Johor dalam pertandingan sepak takraw MSSM yang akan berlangsung di Kuala Terengganu pada Jun depan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 24 MEI 2011

Tiada ulasan: