TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Mei 2011

TANGANI INFLASI TUMPUAN BAJET 2012

LEDANG 15 Mei - Masalah inflasi yang kian meningkat akan menjadi perhatian utama dalam Bajet 2012 bagi memastikan persekitaran ekonomi yang lebih selesa kepada setiap lapisan rakyat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bajet tersebut akan bersifat 'Rakyat Didahulukan' di samping memperkenalkan pendekatan untuk membolehkan taraf hidup masyarakat dapat dipertingkatkan.

"Apa yang penting adalah bagaimana kita sebagai kerajaan dapat membantu rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Menteri Besar dan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

Ahmad Husni berkata, perbincangan dengan 10 kumpulan sasar yang merangkumi pihak kementerian, golongan peniaga, akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan bermula bulan depan bagi membincangkan keperluan Bajet 2012.

Beliau berkata, selain menangani inflasi, antara perkara yang diberi tumpuan adalah merancakkan pelaburan swasta, pembangunan sosial, kemajuan luar bandar, pengkomersialan bidang penyelidikan dan inovasi, memajukan industri kecil dan sederhana, menangani masalah pembiayaan perumahan serta pengurusan nilai secara efektif.

Katanya, Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada Oktober itu akan membantu membina struktur yang lebih efisien dan efektif bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 MEI 2011

Tiada ulasan: