PENGUNJUNG SETIA

29 Jun 2010

ISU BANJIR SELESAI

LEDANG - Masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Parit Ponorogo mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Yang DiPertua Majlis Daerah Tangkak, Amran Abd Rahman berkata, cadangan peruntukan bagi penambahbaikan sistem perparitan, pengairan dan saliran di Kampung Parit Ponorogo telah dimasukkan ke dalam belanjawan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diberi keutamaan dan tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah banjir ini dan pihaknya akan memainkan peranan penting memastikan ia diselesaikan segera.

“Memang diakui kawasan kampung ini sering dilanda banjir kerana secara semula jadinya ia berada pada paras rendah dan tanah jenis gambut.

“Kes banjir kali ini disebabkan oleh hujan lebat dan juga air pasang di Sungai Muar yang melimpah ke kampung ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Amran sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Surau Kampung Ponorogo selain meninjau kawasan yang dilanda banjir kilat di kampung itu.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang yang memberi bantuan makanan, keperluan asas, selimut dan tikar kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan masalah banjir ini dalam masa terdekat, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan parit dan longkang di kampung ini.

“Kita akan menjalankan kerja membersihkan parit dan longkang yang tersumbat segera bagi memudahkan pengaliran air,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kampung ini yang bercadang membina rumah kediaman supaya memikirkan perkara itu dalam jangka masa panjang.

“Jika ada permintaan mendapatkan lesen membina rumah kediaman, MDT akan meminta mereka menambak kawasan itu lebih tinggi bagi mengelakkan banjir,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 29 JUN 2010

Tiada ulasan: