PENGUNJUNG SETIA

23 Jun 2010

KADAR JENAYAH TURUN 30 PERATUS


TANGKAK - Kadar jenayah di seluruh daerah Ledang menurun kira-kira 30 peratus setiap bulan berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris berkata, angka itu menunjukkan daerah ini berada pada tahap terkawal dan terjamin.

“Orang ramai terutamanya penduduk di daerah ini tidak perlu risau dan khua�tir berhubung keselamatan mereka kerana polis sentiasa bekerja keras memastikan keselamatan penduduk berada pada tahap optimum.

“Tidak dinafikan masih ada kes jenayah di kawasan ini seperti kecurian motor, pecah rumah dan samun, namun jumlah kesnya menurun setiap bulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan daerah Ledang sentiasa terjamin, beliau berharap supaya orang awam memberi kerjasama kepada pihak polis dari segi saluran maklumat kegiatan jenayah dan juga pena�gihan dadah.

“Maklumat daripada orang awam penting dalam membantu polis membanteras jenayah, dan tidak perlu takut serta segan untuk bekerjasama dengan pihak kami demi kebaikan semua,” katanya.

Harun berkata, memandangkan IPD Ledang ini masih baru di mana sebelum ini ia di bawah pentadbiran IPD Muar, mentaliti masyarakat di sini masih belum dapat menerima kewujudan IPD ini.

“Rata-rata mereka masih tidak sedar adanya IPD ini bagi memberi fokus keselamatan dalam skop yang lebih kecil berbanding dahulu di bawah IPD Muar.

“Sebagai contoh, ada antara mereka yang mengambil sikap sambil lewa dalam mematuhi undang-undang seperti tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal, menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan tanpa mendapat kebenaran daripada polis dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar orang awam mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, tidak cuai menjaga harta peribadi dan memaklumkan kepada pihak polis jika mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 23 JUN 2010

Tiada ulasan: