PENGUNJUNG SETIA

06 Jun 2010

POLIS BURU EMPAT PENJENAYAH DISYAKI WARGA INDONESIA

LEDANG 5 Jun - Polis masih memburu empat penjenayah yang terbabit dalam kejadian samun dan rogol di Bukit Gambir, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, pihaknya telah melancarkan operasi di penempatan pekerja asing di daerah itu sejak kes tersebut dilaporkan tetapi setakat ini belum membuahkan hasil.

"Operasi dilakukan secara berterusan tetapi belum dapat menangkap suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 1 Jun lalu, seorang daripada empat perompak terbabit bukan setakat merampas harta benda, malah tergamak merogol seorang surirumah berusia 40-an di hadapan suami dan anak perempuannya yang berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini.

Tanpa perikemanusiaan, wanita berusia 40-an yang mempunyai lima anak itu dirogol setelah penjenayah terbabit dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil samun mereka.

Kumpulan samun yang dipercayai warga Indonesia itu dan bersenjatakan parang melarikan wang tunai kira-kira RM1,000 serta barang kemas dan empat telefon bimbit dianggarkan bernilai lebih RM3,000.

Harun meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di talian 06-9781222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 6 JUN 2010

Tiada ulasan: