PENGUNJUNG SETIA

04 Jun 2010

DIROGOL PENYAMUN DEPAN SUAMI

LEDANG 3 Jun - Akibat tidak berpuas hati dengan hasil samun, seorang daripada empat penyamun dipercayai warga Indonesia tergamak merogol seorang suri rumah ketika memecah masuk rumah mangsa di Bukit Gambir, di sini kelmarin.

Tanpa perikemanusiaan wanita berusia 40-an dan mempunyai lima anak itu dirogol di hadapan suami dan seorang anak pasangan tersebut berusia 11 tahun.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, suspek menceroboh masuk setelah memotong pintu jeriji di belakang rumah yang terletak berhampiran kebun kelapa sawit.

Ketika kejadian, mangsa sedang tidur di bilik utama bersama suami dan anak bongsunya manakala empat lagi anak mereka berusia antara lapan dan 17 tahun, di sebuah bilik lain.

Kesemua suspek yang bersenjatakan parang dan tidak memakai penutup muka itu mengambil wang tunai RM1,000, barang kemas dan empat unit telefon bimbit bernilai RM3,000.

Mereka kemudian melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kereta mangsa bagaimanapun ditemui ditinggalkan di tepi jalan, berhampiran Pagoh, kira-kira 20 kilometer dari rumah mangsa.

Katanya, pihaknya masih menyiasat kemungkinan suspek menukar kenderaan lain atau melarikan diri ke kawasan berhampiran.

"Polis melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan kumpulan penjenayah itu dan ia turut membabitkan operasi di kawasan penempatan pekerja asing," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di talian 06-9781222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 4 JUN 2010

Tiada ulasan: