PENGUNJUNG SETIA

24 Jun 2010

TEMPAT LETAK KERETA SEMPIT

BUKIT GAMBIR - Penduduk kawasan Bukit Gambir berharap agar Majlis Daerah Tangkak (MDT) menangguhkan perlaksanaan sistem letak kereta berbayar di kawasan pekan itu yang dijangka bakal dilaksanakan mulai Oktober ini atau selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Seorang peniaga, Chua Eng Meng, 40, berkata, perlaksanaan sistem letak kereta berbayar di hadapan kedainya adalah tidak sesuai memandangkan kawasan terbabit sempit dan tidak banyak tempat parkir kenderaan disediakan.

“Adalah tidak berbaloi jika pelanggan saya terpaksa membayar parkir untuk membeli barangan keperluan di sini, tetapi jika mereka tidak mahu membayarnya dikhuatiri akan dikenakan kompaun pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Walaupun sistem letak kereta berbayar itu masih belum dilaksanakan, Skuad Sinar Harian Ledang telah menerima banyak aduan melalui sistem pesanan ringkas daripada penduduk dan pengunjung pekan Bukit Gambir yang meluahkan perasaan tidak puas hati dan menentang perlaksanaannya.

Seorang pengunjung pekan Bukit Gambir, Kasim Sandiman, 72, dari Kundang Ulu berkata, kawasan Bukit Gambir masih belum sesuai dan setaraf jika dibandingkan dengan bandar Muar kerana kawasan itu baru membangun.

“Inilah antara pekan yang berhampiran dengan kawasan kami untuk seisi keluarga berbelanja dan adalah tidak berbaloi untuk kami mengeluarkan wang membayar parkir ini.

“Jika pihak berkuasa tempatan menyediakan parkir khas barulah berbaloi dikenakan bayaran,” katanya.

Seorang pekebun, Yeo Hong Koong, 42, berkata, beliau turut melahirkan kekesalan terhadap MDT yang berhasrat mengenakan bayaran parkir di kawasan itu.

“Rata-rata pengunjung pekan Bukit Gambir ini adalah pekebun seperti saya yang berpendapatan rendah dan kami tidak setuju ia dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua MDT, Amran Abd Rahman, berkata, sudah sampai masanya sistem letak kereta berbayar dilaksanakan di pekan itu kerana pembangunannya telah setanding dengan bandar Tangkak.

Beliau berkata, walaupun pada peringkat awal pelaksanaannya mendapat tentangan daripada pihak tertentu namun, melihat kepada struktur pembangunan pekan itu yang lebih tersusun berbanding 10 tahun lepas ia wajar dilaksanakan.

Menurutnya, MDT telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan sistem letak kereta berkupon di zon yang betul-betul padat dan berpotensi seperti di Bukit Gambir dan Tanjung Agas sebagai permulaan pada peringkat awal dan tidak secara menyeluruh.

Amran berkata, dengan keadaan ekonomi yang stabil dan mantap, bayaran yang dikenakan dirasakan tidak membebankan mereka berbanding di bandar besar dan sepatutnya tidak menjadi isu kerana trend perbandaran makin lama akan bertambah maju dan mereka perlu ubah sikap.

Beliau berkata, MDT masih bersedia menerima pandangan daripada orang ramai dan akan merumuskannya dengan sebaik mungkin supaya kedua-dua pihak mendapat manfaatnya.

Terdapat 942 petak tempat letak kereta disediakan di Bukit Gambir, 695 petak di Tanjung Agas manakala 1368 petak di Tangkak dan pertambahan di mana-mana kawasan perniagaan yang baru diwujudkan.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 24 JUN 2010

Tiada ulasan: