PENGUNJUNG SETIA

22 Jun 2010

8 WARGA INDONESIA DIBERKAS


Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (tiga dari kiri) menunjukkan parang serta peralatan pecah rumah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 21 Jun - Polis memberkas enam lelaki dan dua wanita warga Indonesia kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dan pecah rumah pada waktu malam dalam dua tangkapan di daerah Ledang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 36 tahun dipercayai turut melakukan jenayah sama di daerah Segamat, Muar, Batu Pahat dan Melaka.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan enam lelaki dilakukan pukul 11.30 malam, Jumaat lalu di kawasan ternakan ayam di Jalan Belading, Tangkak.

"Selepas itu, polis menahan pula dua wanita Sabtu lalu pukul 1.45 pagi di Jalan Hospital, Taman Tangkak Jaya, Ledang kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang sama.

"Kumpulan ini bukan sahaja merompak tetapi turut menggunakan senjata untuk mencederakan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Turut dirampas semasa serbuan, 12 unit telefon bimbit, dua bilah parang panjang, sebilah pisau 'Rambo', sebuah pemain cakera padat, sebuah kamera digital, sebuah televisyen, satu bungkusan plastik berisi barang kemas, dua komputer riba dan sebuah motosikal curi jenis Honda EX5 yang kesemuanya bernilai lebih RM50,000.

Menurut Mohd. Mokhtar, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an ditahan pihak polis pukul 3.30 petang semalam kerana disyaki terlibat dalam 10 kes samun dan pecah rumah di Batu Pahat.

"Soal siasat sedang dijalankan untuk mengesan sama ada suspek yang ditahan mempunyai kaitan dengan kumpulan yang ditahan di daerah Ledang," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 JUN 2010

Tiada ulasan: