PENGUNJUNG SETIA

13 Jun 2010

NYARIS MAUT

LEDANG - Dua perompak dipercayai warga asing kembali mengganas apabila memecah masuk sebuah rumah milik warga emas , Pang Xian Phun, 61, dalam kejadian di Bukit Kangkar kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa dan isterinya yang merupakan seorang penjaja sedang menyiapkan barang-barang keperluan untuk berniaga di dapur terkejut apabila melihat rumahnya dimasuki dua perompak yang bersenjatakan parang.

Salah seorang daripada penjenayah bertindak ganas dengan mencekik isteri mangsa dan mengikatnya menggunakan wayar elektrik dan telefon.

Mangsa cuba menyelamatkan isterinya telah mengalami kecederaan di kepala akibat ditetak menggunakan parang.

Anak mangsa yang berumur 33 tahun juga mendapat cedera ringan di tangan kerana ditetak perompak ketika cuba menyelamatkan diri di dalam biliknya.

Xian Phun yang cedera di kepala menerima empat jahitan, manakala anaknya menerima tiga jahitan.

Kedua-dua penjenayah itu dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pagar di belakang yang telah dipotongnya.

Suspek telah melarikan diri dengan membawa bersama beg tangan isteri mangsa yang mengandungi wang tunai yang dianggarkan lebih daripada RM1,000, kad kredit dan telefon bimbit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihak polis sedang menjalankan gerakan untuk memburu kedua-dua suspek.

“Kes disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, empat penjenayah juga warga asing bukan sahaja memecah masuk sebuah rumah keluarga juga di daerah ini, tetapi juga tergamak merogol seorang surirumah berusia 40-an di hadapan suami dan anak perempuannya yang berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini.

SUMBER: SINAR HARIAN, 13 JUN 2010

Tiada ulasan: