PENGUNJUNG SETIA

17 Jun 2010

PENANTIAN 8 TAHUN BERAKHIR

GERSIK - Penantian penduduk di Kampung Gaung Kepar, Sawah Ring, selama lapan tahun untuk mendapatkan bekalan elektrik berakhir apabila masalah berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asogan Muniyandi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, RM200,000 digunakan bagi memasang 60 lampu jalan dan bekalan elektrik di kampung itu.

Menurutnya, walaupun bilangan penduduk di sini masih sedikit tetapi sebagai wakil rakyat, beliau akan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah penduduk.

“Ini adalah projek Bantuan Elektrik Luar Bandar (BELB) khas yang ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Menerusi projek ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat bagi memastikan mereka menikmati kehidupan sempurna selari dengan pembangunan negara,” katanya ketika merasmikan projek BELB, di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga membuat permohonan mendapatkan bekalan air daripada Syarikat Air Johor (SAJ) ke kawasan ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Negeri Johor Bahagian Pembahagian TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB di bawah Tabung Individu Bekalan Elektrik (AIBE).

Menurutnya, menerusi CSR, menunjukkan TNB sebagai badan korporat bukan berfokus kepada keuntungan semata-mata tetapi mengutamakan kebajikan masyarakat.

“Sehingga kini, TNB berjaya memberikan perkhidmatan elektrik sebanyak 99.9 peratus kepada penduduk di negara ini.

“Nisbah yang besar ini menunjukkan TNB sentiasa meningkatkan kemudahan elektrik dan berusaha memastikan tiada penduduk terpinggir daripada menikmati kemudahan itu,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 17 JUN 2010

Tiada ulasan: