PENGUNJUNG SETIA

27 Jun 2010

KPPPLB DAPAT RM10,000


BUKIT GAMBIR -
Ahli Koperasi Perniagaan, Peruncitan dan Pembekal Ledang Berhad (KPPPLB) boleh menarik nafas lega apabila Ahli Dewan Negara, Senator Ahamad Yusuf, mengumumkan akan menyalurkan peruntukan RM10,000 kepada koperasi itu.

Menurutnya, peruntukan dari Dewan Negara itu akan diluluskan dalam masa terdekat bagi membantu kewangan koperasi agar dapat bergerak lebih maju.

Beliau mengumumkan peruntukan berkenaan sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Kali Kedua/2010 , Koperasi Perniagaan, Peruncitan dan Pembekalan Ledang Berhad di Balai Masjid Bukit Gambir, di sini, semalam.

Menurutnya, untuk menubuhkan koperasi yang berjaya bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan sokongan, komitmen dan keazaman daripada ahli koperasi dan masyarakat setempat.

“Koperasi ini sudah berada pada landasan yang betul, ahli dinasihatkan supaya tidak hanya memikirkan dividen yang bakal diterima semata-mata.

“Bagi ahli yang berkemampuan diharap dapat memberi sumbangan modal sekiranya koperasi kekurangan modal bagi mengukuhkannya,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada ahli koperasi agar tidak takut dengan perniagaan runcit koperasi di kawasan Bukit Gambir memandangkan kawasan ini pesat membangun.

Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi, Md Buang Noor berkata, ahli anggota koperasi diharap terus memberi sokongan kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan agar tahun ini mencatat keuntungan dan menikmati pengagihan pembahagian dividen.

“Laporan pengurus kedai mendapati, setakat ini hanya 45 peratus dari jumlah ahli berbelanja di kedai ini.

“Oleh itu, Ahli Lembaga Koperasi menyeru semua ahli memberi sokongan di kedai kita dengan menambah pelaburan masing-masing bagi mengukuhkan syer saham,” katanya.

Ahamad turut menyampaikan hadiah kepada tiga anggota koperasi yang mencatat belian terbanyak di kedai dan tiga ahli pelabur saham terbanyak dalam koperasi.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 27 JUN 2010

Tiada ulasan: