PENGUNJUNG SETIA

21 Jun 2010

LEDANG JADI PUSAT PERABOT


LEDANG - Ledang bakal menjadi pusat pameran perabot dan Industri Kecil Sederhana (IKS) negara, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM150 juta dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bagi membina pusat perabot negara tersebut.

“Pembinaan pusat perabot ini telah diusulkan kira-kira empat tahun lalu dan kini ianya sudah di peringkat reka bentuk.

“Lokasi pembinaan pusat perabot dan IKS negara ini telah dikenal pasti di satu tapak yang sesuai di Tangkak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikanProgram Juara Rakyat, Karnival Pertanian Ledang sempena ulang tahun pengisytiharan ke-2 daerah Ledang di Pulau Penarek, Sungai Mati di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran A Rahman.

Menurutnya, pusat perabot dan IKS ini bukan sahaja untuk negeri Johor dan seluruh negara malah ianya tidak mustahil menjadi pusat sehenti di rantau Asia Tenggara memandangkan kedudukan daerah Ledang yang strategik.

“Walaupun Ledang tidak terletak di kawasan Lembah Klang dan Wilayah Iskandar, tetapi kedudukannya yang strategik tidak jauh dari Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) amat meyakinkan saya.

“Kita menyambutnya dengan rasa yakin di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengumuman RMK-10 menitikberatkan pembangunan IKS dengan memberi pelbagai kemudahan dalam bentuk pinjaman, bantuan kepakaran, pengurusan dalam membangunkan industri ini,” katanya.

Menurutnya, Ledang amat sesuai dijadikan pusat perabot dan IKS negara kerana daerah ini adalah daerah yang paling tinggi mengeksport perabot di negeri Johor.

Abdul Ghani juga berharap masyarakat Ledang melipatgandakan usaha dalam membangunkan IKS tidak kira dalam bentuk pertanian, penternakan dan produk makanan selain memperbagaikan produk mereka.

“Johor adalah antara negeri yang ramai melahirkan usahawan IKS dengan nilai pendapatan tahunan mereka mencapai lebih RM1 juta.

“Malah, kerajaan negeri juga ada menyediakan peruntukan RM2 juta setahun dalam bentuk bantuan kewangan daripada Bank Pertanian (Agro Bank) kepada pengusaha IKS yang ingin mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memberi kemudahan dalam bentuk geran kepada pengusaha IKS.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 21 JUN 2010

Tiada ulasan: