PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2010

BELIAN PANIK JEJAS BEKALAN GULA

HOO (tengah) bercakap kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Konvensyen Persatuan Eng Choon SeMalaysia di Tangkak.

HAI ROZZAMAN JALAL |BERITA HARIAN

TANGKAK: Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik berikutan kesukaran mereka mendapatkan bekalan gula di beberapa kawasan kerana ia hanya bersifat sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Hoo Seong Chang, berkata akibat pembelian panik yang dilakukan oleh pengguna ia akan menjejaskan bekalan gula di pasaran.

“Pengguna yang membeli gula dengan kuantiti yang melebihi daripada kebiasaan menyebabkan pengguna yang lain tidak memperolehinya di mana kebiasaannya mereka membeli satu atau dua kampit tetapi akibat panik dengan ketiadaan gula mereka membeli lebih daripada kuantiti biasa.

“Keadaan ini menyebabkan stok yang sepatutnya mencukupi bagi sesetengah kawasan terjejas dan akibat permintaan yang meningkat mendadak di samping kelewatan bekalan gula tiba dan bukan disebabkan masalah kekurangan bekalan,” katanya mengulas mengenai masalah kekurangan bekalan gula di pasaran.

Beliau berkata demikan kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Konvensyen Persatuan Eng Choon Se Malaysia di bangunan persatuan itu di Jalan Payamas, di sini.

Beliau mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada majlis yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee dan Presiden persatuan, Datuk Tee Eng Tuan.

Hoo berkata, pihaknya telah menubuhkan unit pemantau bagi melakukan pemantauan di setiap kawasan bagi memastikan tidak berlaku masalah kekurangan bekalan gula.

Katanya, dengan pemantauan setiap hari, masalah kekurangan bekalan gula dapat diatasi seberapa segera dengan menghubungi pemborong berkaitan supaya stok atau bekalan baru ditambah segera.

Ketika berucap pada majlis itu, Hoo berharap pihak persatuan dapat mementingkan kebajikan ahli-ahlinya terutama dalam menyatupadukan masyarakat kerana persatuan merupakan perantara yang dapat menghubungkan rakyat dengan Kerajaan.

Sementara itu, Goh pula mencadangkan supaya diwujudkan sebuah mini muzium di Tangkak yang menempatkan bahan-bahan sejarah berkaitan persatuan itu untuk rujukan generasi akan datang.
SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 03 JUN 2010

Tiada ulasan: