PENGUNJUNG SETIA

02 Jun 2010

DISKAUN 70 PERATUS CUKAI TERTUNGGAK

Amran (dua dari kanan) bersama Hasrin (kanan), Abu dan Tham pada sidang akhbar di Bilik Gerakan, Pejabat daerah Ledang.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Para pembayar cukai yang mempunyai bayaran cukai atau kompaun tertunggak dengan Majlis Daerah Tangkak (MDT) akan menikmati diskaun sehingga 70 peratus dalam tempoh promosi sempena perayaan ulang tahun pertama perisytiharan daerah Ledang.

Yang DiPertua MDT, Amran Abd Rahman, berkata bagi pembayar cukai yang mempunyai tunggakan sehingga April 2010 layak menikmati pengurangan tersebut yang boleh dibayar sepanjang tempoh promosi bermula 9 Jun hingga 8 Julai.

Katanya, pihak MDT mencatatkan jumlah tunggakan keseluruhan sebanyak RM 1.1 juta meliputi berbagai jenis kesalahan dan daripada jumlah itu sebanyak RM862 ribu melibatkan kompaun letak kereta.

“Kami berharap mereka yang mempunyai tunggakan kompaun mengambil peluang keemasan itu untuk menjelaskannya sepanjang tempoh promosi tersebut dengan datang ke pejabat MDT atau cawangan di Bukit Gambir dan Tanjung Agas.

“Selepas tempoh promosi itu, bagi yang engkar untuk membayar kompaun tersebut tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka kerana pada hari-hari biasa MDT hanya berjaya memungut sekitar 30 hingga 50 peratus saja bayaran cukai dan kompaun yang dikenakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Ledang, di Tangkak.

Turut hadir, Setiausaha MDT, Hasrin Kamal Hashim, Ketua WHIP, Abu Othman dan Timbalannya, Tham Kwong Tat.

Amran berkata, MDT akan memperkukuhkan bahagian perundangannya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pembayar cukai yang engkar menjelaskan tunggakan.

Katanya, mereka boleh datang ke pejabat MDT atau cawangannya untuk menyemak cukai atau kompaun yang tertunggak manakala kaunter bergerak akan diusahakan sepanjang tempoh promosi dijalankan yang akan dibuka di lokasi sambutan perayaan diadakan.

Menurutnya, melalui promosi tersebut dapat memberi peluang kepada pembayar cukai melunaskan tunggakan mereka sekaligus dapat mendidik mereka membayar cukai yang dikenakan dengan segera sebelum tindakan undang-undang dikenakan kepada mereka yang engkar.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 02 JUN 2010

Tiada ulasan: