TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Jun 2010

PROJEK TERBENGKALAI JADI TANDA TANYA


JALAN SAWMILL - Kewujudan projek terbengkalai berhampiran perhentian bas Tangkak hampir 10 tahun lalu menjadi tanda tanya kepada penghuni dan masyarakat di kawasan berhampiran.

Difahamkan projek terbengkalai itu pada asalnya dibina untuk sebuah pasar raya. Tetapi, projek berkenaan tidak dapat diteruskan dan kini dipenuhi semak.

Peniaga, Mohd Zain Hashim, 36, berkata, keadaan projek terbiar itu telah mencacatkan pemandangan bandar apatah lagi berdekatan tempat menjadi tumpuan pelancong iaitu perhentian bas dan gedung membeli belah.

Menurutnya, semak-samun telah menjadi sarang pembiakan haiwan berbisa dan berbahaya.

“Penduduk di kawasan ini juga pernah menangkap ular sawa di kawasan ini kerana cuba memasuki rumah penduduk.

“Tahap keselamatan penduduk kurang terjamin dan terdedah dengan pelbagai ancaman,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, pemilik tanah disaran supaya mengambil berat dengan masalah itu kerana kelihatan tidak ubah seperti hutan kecil di dalam bandar Tangkak.

“Di sebalik tapak projek terbengkalai ini, ia menjadi pilihan remaja bermasalah sebagai tempat melepak dan melakukan aktiviti tidak berfaedah.

“Gerai saya ini sudah banyak kali dipecah dan semua peralatan berniaga terutama tong gas dicuri,” katanya.

Pengunjung yang hanya dikenali sebagai Izat berkata, pihak berkuasa perlu mengambil berat permasalahan itu.

Menurutnya, kerja pembersihan itu perlu dilakukan lebih kerap agar masalah tidak menjadi lebih teruk.

“Apa yang perlu diutamakan ialah keselamatan penduduk berhampiran kerana mereka terdedah kepada risiko yang tidak disengajakan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Hairi Ahmad, 48, berkata, projek terbengkalai itu perlu dibersihkan dan boleh dijadikan sebagai tempat meletak kenderaan.

Menurutnya, pelancong dan pengunjung luar seringkali merungut kerana kekurangan tempat meletak kenderaan.

“Ruang tempat meletak kenderaan di perhentian bas ini sangat terhad dan masalah seperti ini menjadi lebih teruk apabila pada cuti hujung minggu.

“Dengan adanya ruang tambahan meletak kenderaan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah dialami pengunjung sebelum ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 18 JUN 2010

Tiada ulasan: