TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Jun 2011

16 PELATIH DITAHAN SEMULA

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my


SALLEH (kanan) melihat kenderaan dirosakkan pelatih yang merusuh  di PUSPEN, Ledang, semalam.
SALLEH (kanan) melihat kenderaan dirosakkan pelatih yang merusuh di PUSPEN, Ledang, semalam.

21 larikan diri selepas merusuh, bakar dua bangunan di PUSPEN


LEDANG: Seramai 16 pelatih berjaya ditangkap awal pagi semalam, manakala lima lagi diburu polis selepas melarikan diri ketika rusuhan penghuni Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) Muar yang menyaksikan dua bangunan termasuk pejabat pentadbiran pusat itu dibakar mereka yang merusuh, malam kelmarin.

Usaha memburu lima pelatih dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). PUSPEN Muar yang terletak dekat Sengkang itu menempatkan 377 penagih seluruh negara yang diperintah menjalani pemulihan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Salleh Abdul Razak, berkata tiga daripada pelatih ditahan semula ketika bersembunyi di kilang perabot berhampiran pusat terbabit kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, 13 lagi ditahan ketika bersembunyi di bawah Jambatan Panchor yang menghubungkan Bukit Serampang dengan Pagoh, lapan kilometer dari pusat itu kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Kita melancarkan gerakan mengesan pelatih yang melarikan diri sejurus menerima laporan berhubung rusuhan di pusat terbabit dan hasilnya, 16 daripada 21 pelatih berusia 30-an berjaya ditahan semula.

“Mereka berhasil dijejaki hasil bantuan agensi berkaitan dan maklumat orang awam,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat berkenaan di sini, semalam.

Salleh berkata, pihaknya kini berusaha memburu saki baki pelatih menggunakan khidmat anjing pengesan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

“Meskipun keadaan sedikit kelam-kabut, kita sedang mengenal pasti mereka yang masih dalam pelarian itu. Semua pihak yang terbabit dalam operasi sedang bertungkus-lumus mengesan pelatih yang masih melarikan diri.

“Tiada kecederaan menimpa kakitangan pusat terbabit ketika rusuhan, bagaimanapun lapan kereta dan dua motosikal dirosakkan penghuni pusat yang merusuh,” katanya.

Salleh berkata, polis kini mengumpul maklumat kejadian itu dan menyiasat motif rusuhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kedudukan pelatih yang melarikan diri supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 8.40 malam kelmarin, sekumpulan pelatih pusat merusuh dan membakar sekurang-kurangnya dua bangunan termasuk pejabat pentadbiran pusat berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pelatih menunaikan solat Isyak di pusat yang menempatkan 377 penghuni.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke pusat itu untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin.

Rusuhan ini adalah yang kedua berlaku di pusat pemulihan terbabit selepas kejadian pertama pada 1999.

SUMBER: BERITA HARIAN, 11 JUN 2011

Tiada ulasan: