PENGUNJUNG SETIA

12 Jun 2011

4 LAGI PELATIH DITAHAN



Oleh MOHD HARZRUL AMINUDDIN
harzrul@hmetro.com.my

LEDANG: Empat lagi pelatih Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) di Bukit Gambir, Muar, dekat sini, yang melarikan diri sejak 24 jam lalu, berjaya dikesan polis di tiga lokasi berasingan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak berkata, seorang pelatih yang melarikan berjaya dikesan polis kira-kira jam 9 malam kelmarin di sekitar kawasan pusat berkenaan.

Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan di sekitar pekan Panchor ketika seorang pelatih merayau-rayau jam 1 pagi semalam.

“Manakala dua lagi suspek berjaya ditahan di sebuah kebun sayur di kawasan Batu 18 dekat Sengkang, jam 1.30 tengah hari tadi (semalam).

“Semua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu akan ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, dengan penangkapan empat pelatih itu, polis kini meningkatkan usaha bagi mengesan seorang lagi pelatih yang masih bebas.

Katanya, polis yakin pelatih itu dapat dikesan dalam masa terdekat dan berharap orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Kejayaan menahan empat pelatih itu hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat dan ketangkasan polis melakukan rondaan.

“Berikutan itu, saya yakin pelatih yang masih bebas itu akan ditahan tidak lama lagi,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, 16 pelatih ditahan semula selepas hanya 10 jam melarikan diri dari Puspen berikutan rusuhan yang dilakukan mereka, Khamis lalu.

Muhammad Salleh berkata, seramai 13 pelatih ditemui polis ketika bersembunyi di bawah jambatan manakala tiga lagi dikesan di sekitar kawasan pusat pemulihan berkenaan.

Katanya, polis akan meluaskan kawasan pencarian mereka bagi mengesan suspek yang melarikan diri dan orang ramai yang ada maklumat mengenainya boleh menghubungi di talian 019-2799429 atau datang ke balai polis berhampiran.

SUMBER: METRO AHAD, 12 JUN 2011

Tiada ulasan: