PENGUNJUNG SETIA

25 Jun 2011

LEMBAH BIOTEKNOLOGI TARIK RM345 JUTA

LEDANG – Lembah pertanian bioteknologi pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Lembah Bioteknologi Johor dibina di kawasan seluas 3,634 hektar di Sedili Kechil, Kota Tinggi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek tersebut telah menarik beberapa pelaburan bernilai RM345 juta dan menjangkakan pelaburan akan meningkat sehingga RM1.005 bilion pada tahun 2020.

Menurutnya, ia juga akan menjadi projek pertanian pertama yang sepenuhnya mengeluarkan produk makanan bio-organik di negara ini.

“Projek ini telah dimulakan pada tahun 2008 dan termasuk pertanian agro, pembiakan haiwan, lumut untuk pembiakan ikan air tawar dan ternakan burung walit.

“Keseluruhan lembah akan dilengkapi dengan sistem keselamatan bio untuk memastikan semua haiwan masuk ke dalam kawasan bebas kuman,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Boitek Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak, di sini, semalam.

Abdul Ghani yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif J-Bio Tech, Datuk Dr Haris Salleh berkata, sebanyak 18 syarikat telah melabur dalam Lembah Bioteknologi Johor ini.

“Projek ini menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara dan menggunakan bioteknologi dan biodiversiti bagi meningkatkan kualiti.

“Kesemua pertanian, pembiakan haiwan dan projek akua dalam lembah ini tidak akan menggunakan bahan kimia sebaliknya menggunakan sisa-sisa pertanian yang dikitar semula,” katanya.

Katanya, sebuah kilang dari Klang telah memulakan ternakan ikan air tawar di kawasan seluas 161 hektar. Manakala syarikat Bumiputera pula menjalankan projek ternakan ikan laut seluas 120 hektar.

“Kami juga bercadang untuk membina 100 rumah burung walit di lembah ini yang mana orang awam juga boleh sama-sama menyertai perusahaan ternakan ini dengan modal RM10,000 bagi seunit rumah burung walit.

“Ia akan menjadi projek pelaburan jangka panjang dan peserta boleh memperolehi hasil kira-kira RM250,000 dalam tempoh 35 tahun untuk setiap unit rumah burung walit yang mereka beli,” katanya.

Sehubungan itu, usaha untuk menyebarluaskan pengetahuan dan penggunaan teknologi biotek kepada masyarakat perlu ditingkatkan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 25 JUN 2011

Tiada ulasan: