PENGUNJUNG SETIA

21 Jun 2011

MINTA TURAP JALAN SEGERA

LEDANG – Keengganan pihak terbabit untuk menurap bahagian jalan belakang di Taman Gading Jaya, Parit Bunga di sini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada hampir 250 penduduk di kawasan tersebut.

Mereka mendakwa sudah mengemukakan banyak permohonan kepada pihak terbabit, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat sebarang perkembangan yang positif.

Salah seorang penduduk, Miskan Talib, 61, berkata, sebelum ini keadaan jalan di sini elok, tetapi selepas longkang berhampiran di naik taraf sejak dua tahun lalu, jalan tersebut tidak diselenggara dan terbiar.

Menurutnya, jalan sepanjang hampir 500 meter itu menjadi laluan alternatif kepada sebilangan penduduk di sini.

“Bahkan juga ia turut digunakan oleh pelajar-pelajar di taman ini untuk ke sekolah menengah yang terletak berhampiran dengan perumahan ini.

“Sepatutnya jalan ini diturap serentak semasa pihak terbabit menurap jalan bahagian hadapan taman ini sekitar pada penghujung April lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, keadaan jalan yang hampir dilitupi dengan rumput telah mengubah rupa bentuk jalan itu dan menjadi lebih mirip seakan-akan padang.

“Pastinya keadaan seperti ini secara tidak langsung turut mencacatkan keindahan di Taman Gading Jaya.

“Fungsi jalan ini sangat penting terutamanya jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran akan dapat memudahkan pihak bomba melaksanakan kerja-kerja pemadaman api dengan lancar,” katanya.

Miskan berkata, jelas menunjukkan bahawa peranan jalan belakang kepada penghuni kawasan perumahan sangat penting terutamanya berkaitan soal keselamatan.

Justeru, beliau berharap agar pihak yang berkenaan dapat mengambil berat terhadap permasalahan ini untuk kepentingan dan keselesaan penduduk-penduduk di sini.

SUMBER: SINAR HARIAN, 21 JUN 2011

Tiada ulasan: