PENGUNJUNG SETIA

25 Jun 2011

SASAR RM1B HASIL LEMBAH MAKANAN ORGANIK


ABDUL Ghani Othman melawat sudut pameran selepas beliau merasmikan Karnival Biotek Johor yang berlangsung di Dataran Ledang dekat Tangkak, Johor, semalam.


LEDANG 24 Jun - Kerajaan negeri menyasarkan hasil pengeluaran bernilai RM1 bilion menerusi projek Lembah Makanan Organik di Kota Tinggi menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, menerusi aplikasi bioteknologi, lembah tersebut dapat memberi pulangan lumayan menerusi aktiviti tanaman, ternakan, akuakultur, perikanan serta pelancongan.

Beliau berkata, sejak dimulakan pada 2008, projek tersebut telah menerima pelaburan bernilai RM345 juta dengan penglibatan 18 syarikat dari dalam serta luar negara.

"Menerusi hab pengeluaran makanan seluas 4,400 hektar ini, kita dapat pelbagaikan lagi pengeluaran pertanian, penternakan dan akuakultur serta meningkat pengeluaran makanan berbentuk organik.

"Makanan organik mempunyai nilai pasaran yang jauh lebih baik, kualiti lebih tinggi dan kita dapat selaraskan pengeluarannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Biotek Johor 2011 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation (J-BioTech), Datuk Dr. Haris Salleh dan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

Menteri Besar berkata, projek akuakultur di lembah tersebut merangkumi ternakan ikan tilapia dan kerapu selain udang yang membabitkan pelaburan bernilai RM97 juta.

Menurutnya, perusahaan sarang burung walet yang memberi pulangan tinggi turut akan dijalankan di kawasan tersebut dan ia melibatkan penyertaan syarikat serta orang perseorangan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya komited untuk membangunkan bidang bioteknologi kerana ia mampu memacu ekonomi negara dan dikenal pasti dapat mengekalkan kekayaan hasil alam semula jadi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 JUN 2011

Tiada ulasan: