PENGUNJUNG SETIA

27 Jun 2011

LEMBAH MAKANAN TARIK PELABURAN RM345J

LEDANG: Lembah Makanan Organik atau Bio Valley seluas 3,600 hektar yang sedang dibangunkan di Kota Tinggi sejak tahun lalu, sudah berhasil menarik pelaburan RM345 juta menerusi penyertaan 18 syarikat tempatan dan asing dalam pelbagai jenis pengeluaran makanan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata semua projek pengeluaran makanan di lembah itu menggunakan konsep Mikroorganisma Efektif (EM) yang bebas daripada sebarang penggunaan bahan kimia, selain penggunaan pelbagai jenis tanaman yang dapat mengelak serangan penyakit atau serangga.

"Antara projek yang bakal memasuki Bio Valley termasuk dua projek akuakultur diusahakan syarikat tempatan iaitu ternakan ikan tilapia dan kerapu dalam kuantiti besar dengan fokus untuk pasaran eksport.
"Lebih 100 rumah burung walet juga akan dibangunkan dan menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menyertai pelaburan dan memperoleh pendapatan dalam tempoh dua tahun," katanya selepas merasmikan Karnival Biotek Johor di Dataran Ledang di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Johor Bio Teknologi, Datuk Dr Haris Salleh.

Abdul Ghani berkata, Bio Valley dibangunkan melalui program agrobioteknologi tinggi merangkumi projek tanaman, ternakan dan akuakultur, selain turut menjadi pusat penyelidikan dan latihan.

Katanya, semua projek yang dilaksanakan bersesuaian hasrat kerajaan negeri meletakkan Johor sebagai pelopor utama bidang teknologi bio negara ini yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan penjanaan kekayaan melalui pelaburan dan peluang pekerjaan baru yang mampu memberi manfaat kepada sosial serta pemuliharaan alam sekitar.

"Pelaksanaan lembah makanan itu dijangka mampu mengeluarkan hasil bernilai kira-kira RM1 bilion menjelang tahun 2020, sekali gus menjadikan Johor sebagai pelopor utama bidang bio teknologi.

"Bio Valley menggunakan amalan konsep bioteknologi yang dibuat pada skala besar sebagai hub pengeluaran makanan utama untuk memenuhi matlamat meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran makanan organik yang semakin mendapat nilai pasaran jauh lebih tinggi.

"Kewujudannya juga bersesuaian dengan pilihan pengguna yang semakin meluas terhadap makanan organik yang turut boleh digunakan untuk melawan penyakit," katanya.

Katanya, lembah makanan itu juga berpotensi dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancongan kerana keistimewaannya sebagai hub pengeluaran makanan organik.

SUMBER: BERITA HARIAN, 27 JUN 2011

Tiada ulasan: