PENGUNJUNG SETIA

11 Jun 2011

16 PELATIH PUSPEN LARIKAN DIRI DICEKUP SEMULA

LEDANG 10 Jun – Polis menahan semula 16 daripada 21 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Muar yang mengambil kesempatan melarikan diri dalam rusuhan di pusat berkenaan di Sengkang, Bukit Gambir, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Salleh Abdul Razak berkata, tiga daripada mereka yang meloloskan diri itu ditahan semalam ketika bersembunyi di sebuah kilang perabot berhampiran.

“Dalam operasi hari ini, polis menahan sembilan lagi pelatih Puspen kira-kira pukul 9 pagi semasa mereka bersembunyi di bawah Jambatan Pagoh yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat berkenaan.

“Kita mendapatkan unit anjing pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat untuk mengesan lima lagi pelatih yang masih bebas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Salleh, dalam rusuhan pukul 9 malam semalam, sekumpulan pelatih bertindak membakar bangunan pentadbiran, pemulihan, stor serta pondok pengawal dan seterusnya merosakkan lapan kenderaan dan dua motosikal.

Katanya, pihak polis yang menerima panggilan pukul 9.15 malam tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bagi mengawal keadaan.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, seramai 21 daripada 377 pelatih didapati menghilangkan diri. Polis menggerakkan operasi bagi menjejaki pelatih itu,” katanya yang memberitahu punca rusuhan tersebut masih lagi dalam siasatan.

Jelasnya, berikutan kerosakan pada bangunan pentadbiran, pihaknya mengalami kesulitan bagi mengenal pasti identiti pelatih yang masih bebas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan pihaknya juga menyiasat kemungkinan pelatih mendapat pertolongan dari luar untuk memulakan rusuhan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pelatih Puspen itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di talian 06-9781222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 JUN 2011

Tiada ulasan: