TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 Jun 2011

MAKAM TERBIAR DIBERSIHKAN

LEDANG – Bukan sahaja terbiar, tetapi sebahagian besar makam yang terdapat di tanah perkuburan Islam Parit Karang Laut, Kesang di sini sudah tidak dapat dikenal pasti pemiliknya.

Dipercayai makam-makam yang mencecah usia lebih 300 tahun itu turut menempatkan makam-makam pahlawan tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Hasil Jejak Warisan yang dilakukan sebelum ini berjaya mengenal pasti makam Tok Panjang, Panglima Ibrahim dan makam Panglima Hitam terdapat di sini.

Kebanyakan makam yang ditemui dalam keadaan uzur, malah permukaan makam sudah rata dan hanya dikesan melalui batu nisan.

Melihat situasi itu, mendorong Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Muar, Ledang, dan Syarikat Air Johor (SAJ) Ledang mengambil inisiatif menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya menerusi gotong-royong Jejak Warisan di makam tersebut.

Aktiviti tersebut turut dibantu kira-kira 100 penduduk Tanjung Karang Laut sebagai usaha untuk memelihara dan mempertahankan warisan sejarah.

Pengerusi Surau Parit Karang Laut, Esa Abu berkata, inisiatif gotong-royong tersebut dilakukan berikutan keadaan makam di sini yang terbiar dan tidak terurus.

Menurutnya, selain dipenuhi dengan semak-samun, hampir keseluruhan makam tersebut telah rosak tidak terpelihara.

“Dalam Jejak Warisan ini, kami bukan hanya membersihkan semak-samun di sini, bahkan turut membaiki semula makam-makam yang rosak.

“Ia untuk memastikan supaya makam tinggalan sejarah ini terus terpelihara untuk tatapan generasi muda berkaitan dengan sejarah yang sinonim dengan pahlawan-pahlawan ini,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama kami juga mahu mendedahkan kepada orang ramai bahawa di tapak perkuburan tersebut menempatkan ramai pahlawan Melayu yang sebelum ini tidak dikenali dan diketahui ramai.

“Gotong-royong ini juga menjadi platform dan galakan kepada generasi muda untuk terus memelihara dan memulihara makam-makam di sini.

“Apa yang pasti, gotong-royong ini memberi manfaat kepada generasi muda supaya berminat untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang semakin dilupakan pada masa ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 JUN 2011

Tiada ulasan: