PENGUNJUNG SETIA

12 Jun 2011

PENGHUNI BARU BELUM BERSEDIA TERIMA RAWATAN

Oleh SHARIFAH ZULAIKHA SYED AMALI
metahad@hmetro.com.my

LEDANG: “Mereka (pelatih) belum bersedia menerima rawatan pemulihan diberikan hingga sanggup merusuh untuk membebaskan diri,” kata Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi ketika mengulas kejadian pelatih merusuh dan melarikan diri di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Cawangan Muar, dekat sini, malam Khamis lalu.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada sikap pelatih baru yang belum bersedia menerima rawatan pemulihan hingga sanggup bertindak di luar batasan serta mencetuskan rusuhan, membakar kenderaan dan bangunan serta melarikan diri.

Menurutnya, seseorang pelatih yang dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan perlu menjalani proses tapisan bagi mengetahui jenis rawatan yang perlu diberi kepada mereka.

“Prosedur ini sepatutnya dijalankan di peringkat negeri bagi melancarkan proses pemulihan pesakit yang dinilai mengikut tahap ketagihan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sesebuah institusi pemulihan perlu mengamalkan konsep tolak ansur dalam pengurusan dan memberi sedikit kelonggaran supaya pelatih tidak dibebani tugas berat.

Selain itu, katanya, pendekatan digunakan untuk melatih pelatih baru perlu lebih mesra dan bukan menggunakan unsur paksaan serta ugutan bagi mengelak pelatih berang ketika menerima rawatan.

“Pengendali perlu melayan pelatih baru ini mengikut prosedur ditetapkan supaya kejadian rusuhan tidak berulang.

“Saya berpendapat pendekatan lebih mesra perlu diamalkan dalam pemulihan supaya berkesan,” katanya.

SUMBER: METRO AHAD, 12 JUN 2011

Tiada ulasan: