PENGUNJUNG SETIA

08 Jun 2011

DAFTAR PEMILIH

LEDANG - Golongan pemuda dan belia yang telah mencapai umur 21 tahun ke atas digesa mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Zaidi Ab Majid berkata, usaha mendaftarkan ahli Pemuda di peringkat cawangan yang masih belum mendaftar sedang giat dijalankan.

Menurutnya, setiap ketua pemuda di peringkat cawangan perlu mengambil inisiatif dengan mendapatkan maklumat ahli mereka yang telah mencapai umur 21 tahun perlu didaftarkan sebagai pengundi.

“Kerjasama Ketua Pemuda di setiap cawangan untuk mendaftarkan ahli mereka yang berusia 21 tahun ke atas amat diperlukan bagi mengelakkan mereka tercicir daripada membuat pemilihan dalam pilihan raya akan datang.

“Kita perlu memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pemuda yang menjadi tunjang menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Badminton Tertutup Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Parit Bunga Raya Hujung di Dewan Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat, Bukit Gambir, di sini.

Zaidi berkata, melalui aktiviti ini, golongan muda dan dewasa dapat berkumpul dan menjalankan aktiviti yang sihat selain bertukar-tukar pendapat berkaitan isu semasa yang berlaku di kampung mereka.

“Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti dewan serba guna dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat dengan menjalankan aktiviti kemasyarakatan serta riadah,” katanya.

Ketua Pemuda Cawangan Parit Bunga Raya Hujung, Salam Tumin berkata, pertandingan badminton tertutup itu dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara golongan muda dengan dewasa yang turut menyertai aktiviti berkenaan.

“Semangat kesukanan yang ditunjukkan dapat membentuk generasi yang sihat dan aktif selain dapat menjalankan aktiviti yang bermanfaat.

“Sebanyak sepuluh beregu menyertai pertandingan itu yang terdiri daripada golongan pemuda dan veteran di Kampung Parit Bunga Raya Hujung dan Simpang 5 Darat,” katanya.

Turut hadir pada pertandingan berkenaan, Ketua Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Rosli Saring; Ketua Kampung Simpang 5 Darat, Misnan Abd Jalal; Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Mohd Musa Kathiran dan Ketua Pemuda Cawangan, Salam Tumin.

SUMBER: SINAR HARIAN, 08 JUN 2011

Tiada ulasan: