TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Jun 2011

AMBIL MASA 10 MINIT PADAM KEBAKARAN

LEDANG – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Ledang terpaksa mengambil masa keseluruhan kerja pemadaman hampir dua jam bagi mengawal kebakaran daripada menjadi lebih serius dalam satu kejadian di Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) Muar, di sini, malam kelmarin.

Hal berkenaan dimaklumkan Ketua Operasinya, Malley Salim yang menjelaskan pihaknya sebenarnya hanya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi memadamkan kebakaran di bahagian utama pusat pemulihan itu.

“Namun, tempoh pemulihan kebakaran mengambil masa hampir dua jam bagi memastikan keseluruhan kawasan kebakaran terkawal sepenuhnya.

“Malah pada awalnya, kami (Bomba) tidak dibenarkan memasuki pusat pemulihan berkenaan berikutan beberapa faktor keselamatan dan perlu menunggu kira-kira 10 minit sebelum dapat memasuki pusat latihan itu,” katanya.

Menurutnya, ia berikutan keadaan rusuhan yang dilakukan oleh pelatih pusat tersebut tidak terkawal memaksa pihak polis memperketatkan kawalan di pusat berkenaan.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.50 malam, dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ledang.

“Malah kerja pemadaman turut dibantu enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar bersama satu jentera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sinar Harian dimaklumkan, berikutan keadaan api yang begitu marak, sebahagian daripada blok dalam kompleks pemulihan itu termasuk bangunan pentadbiran, ruang tamu, blok unit pemulihan termasuk stor musnah terbakar.

Malah difahamkan, anggota bomba sukarela dari unit Bukit Gambir juga membantu mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran.

Kerja pemadaman dilaporkan selesai kira-kira jam 12.06 pagi.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 JUN 2011

Tiada ulasan: