PENGUNJUNG SETIA

12 Jun 2011

EMPAT LAGI DITAHAN

LEDANG - Seramai empat daripada lima penghuni Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) Muar di Sengkang, Bukit Gambir yang melarikan diri dalam insiden rusuhan beramai-ramai di pusat berkenaan berjaya ditahan semula.

Kini, polis memburu seorang lagi penghuni pusat berkenaan yang masih bebas.

Siasatan awal mendapati, faktor kelaparan dan hilang arah tuju memaksa salah seorang daripada penghuni yang melarikan diri untuk kembali semula ke pusat berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abdul Razak berkata, penghuni tersebut dilihat berkeliaran berhampiran pusat tersebut kira-kira jam 1 pagi sebelum menahan mereka semula.

Menurutnya, terdahulu pihak polis berjaya menahan seorang penghuni yang ditemui di Pekan Panchor pada jam 9 malam, Jumaat lalu.

“Hasil gerakan mencari yang giat dijalankan, akhirnya polis berjaya menahan dua lagi penghuni pusat ini di salah sebuah kebun sayur di Sengkang Batu 18.

“Dengan penangkapan ini menjadikan 20 penghuni yang berjaya ditahan semula daripada 21 penghuni yang melarikan diri pada malam kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, polis masih meneruskan gerakan mencari seorang lagi penghuni yang masih bebas dengan memperketat kawalan di sekitar daerah Ledang dan Muar.

Dalam kejadian Khamis lalu, 377 penghuni Puspen merusuh beramai-ramai dengan membakar beberapa bangunan dan merosakkan kenderaan serta 21 daripada mereka berjaya melarikan diri.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 JUN 2011

Tiada ulasan: