PENGUNJUNG SETIA

11 Jun 2011

PELATIH KENA HASUT

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Tidak puas hati dengan program tertentu dan diburukkan lagi dengan hasutan dipercayai menjadi punca segelintir pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Dadah (Puspen) Muar, di Bukit Gambir di sini, merusuh, malam kelmarin.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Zuraidah Mohamed berkata, rusuhan berlaku selepas solat Isyak itu dimulakan segelintir pelatih saja.


“Program disediakan mungkin menyebabkan segelintir pelatih tidak puas hati dan ada di kalangan mereka mula menghasut menyebabkan keadaan tidak terkawal hingga ada yang bertindak liar.

“Pelatih mula membakar bangunan serta merosakkan kenderaan Puspen dan pegawai AADK, bimbang berlaku perkara tidak diingini, pegawai kami serta pelatih yang tidak mahu terbabit dengan rusuhan berkenaan menyelamatkan diri masing-masing,” katanya semalam.


Dalam rusuhan kira-kira jam 9 malam itu, 21 pelatih melarikan diri selepas sebahagian daripada 377 penghuni membakar lima bangunan membabitkan pejabat pentadbiran, rumah tetamu, unit pemulihan, bangunan stor dan pondok pengawal.


Empat kenderaan milik Puspen dan empat milik kakitangan turut dirosakkan, setakat jam 6 petang semalam, 16 pelatih berjaya ditemui semula manakala lima lagi masih dikesan.

Menurut Zuraidah, pihaknya akan mengkaji semula beberapa program untuk dikemas kini bagi memastikan ia memenuhi keperluan semua pihak.


“Polis masih menyiasat punca rusuhan dan pada masa sama, kami juga menjalankan siasatan sendiri.

“Program tertentu akan dirombak mengikut kesesuaian dalam tempoh terdekat,” katanya.


Pada masa sama, Zuraidah memaklumkan kerugian akibat rusuhan dianggarkan kurang RM600,000.


Bangunan yang terbakar terdiri daripada bangunan lama diperbuat daripada kayu.

SUMBER: HARIAN METRO, 11 JUN 2011

Tiada ulasan: