PENGUNJUNG SETIA

20 Jun 2011

SEMBANG SANTAI ALTERNATIF BARU

LEDANG – Sembang Santai pemimpin bersama rakan laman sosial Facebook merupakan salah satu pendekatan alternatif yang digunakan pemimpin untuk mendekati rakyat.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri turut mengadaptasikan pendekatan itu untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara beliau dengan rakyat.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, Hamim berjaya menghimpunkan 40 rakan Facebook di sekitar Ledang yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Menurutnya, sebelum ini beliau hanya dapat berkomunikasi secara maya dengan rakyat, tetapi dalam pertemuan itu, beliau berpeluang bertemu muka dan bersembang bersama rakyat.

“Penggunaan laman sosial Facebook ini banyak manfaatnya sekiranya digunakan dengan bijak untuk tujuan yang baik dan tidak disalahgunakan.

“Saya dapat berinteraksi dengan masyarakat di Parlimen Ledang dan dapat mengetahui peristiwa atau permasalahan yang timbul di kawasan Ledang dengan pantas menerusi maklumat yang dihantar ke laman sosial milik saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berharap, masyarakat di Ledang dapat memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat itu dengan sebaik mungkin untuk memupuk semangat perpaduan di antara masyarakat berbilang kaum.

Hamim turut gembira dapat bersembang secara santai dengan rakan Facebooknya dan berharap program seumpama itu dapat diadakan pada masa akan datang bagi merapatkan lagi keakraban sesama mereka.

Sementara itu, penyelaras program, Mohd Zan Abu, 46, berkata, tujuan program Sembang Santai itu untuk merapatkan hubungan di antara rakan Facebook Ledang dengan pemimpin mereka selain bersua muka antara satu sama lain.

Menurutnya, meskipun pertama kali diadakan, tetapi mendapat sambutan yang hangat daripada pengikut Facebook beliau.

“Sembang santai ini dapat mempertemukan rakan-rakan Facebook sekitar Ledang dengan pemimpin mereka yang juga aktif menggunakan laman sosial itu untuk bersembang dan menyalurkan maklumat yang bermanfaat.

“Melalui program ini, kami dapat bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain di samping mengemukakan permasalahan yang timbul di kampung atau tempat tinggal masing-masing kepada pemimpin itu untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Mohd Zan berkata, program Sembang Santai itu diharap menjadi titik tolak untuk menghimpunkan lebih ramai rakan Facebook yang ada di sekitar Ledang menyertai program seumpama itu pada masa akan datang.

SUMBER: SINAR HARIAN, 20 JUN 2011

Tiada ulasan: