HAMIM
Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan warga emas,
Ithnin Ghazali semasa Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit
Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan
Serbaguna Bukit Gambir dekat Ledang, Johor,kelmarin.
LEDANG
19 Dis. – Ledang muncul sebagai daerah kedua terendah bagi kes denggi
di negeri ini dan usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes perlu
diteruskan sehingga berjaya mencapai tahap bebas sepenuhnya.
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim
Samuri berkata, antara yang perlu dilakukan ialah melalui kempen-kempen
sedia ada selain gotong-royong membersihkan kawasan yang berpotensi
menjadi pembiakan nyamuk aedes.
“Selain itu
kita perlu terus mengamalkan gaya hidup sihat yang berkualiti. Daerah
ini di tempat kedua paling bawah berlaku kes denggi, ini bermakna Ledang
adalah daerah kedua terbaik dalam Kempen Johor Bebas Denggi.
“Jika
dahulu kawasan Ledang di tempat teratas mengenai kes denggi namun hasil
kesedaran dan sokongan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran
kediaman mereka, kini kes berkenaan sudah menurun,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Mesra dan Anti
Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat
Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini kelmarin.
Program
anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Bukit Gambir Barat dan Majlis
Daerah Tangkak itu turut dihadiri Pengerusi PDM, Abu Bakar Md. Affandi
dan Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar.
Statistik terbaharu demam denggi di negeri ini dari awal tahun hingga 7
Disember lalu menunjukkan daerah ini kedua terendah iaitu 0.4 peratus
diikuti Mersing (2 peratus), Segamat (3 peratus), Batu Pahat (4.2
peratus), Muar (5 peratus), Kluang (7 peratus) dan paling tinggi Johor
Bahru (67 peratus).
Justeru,
Hamim berharap penduduk di sini bersama-sama memikul tanggungjawab
menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan kesedaran bahaya demam
denggi akan dapat terus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 DISEMBER 2014