PENGUNJUNG SETIA

03 Mac 2009

56 DILANTIK PAKAR TAFSIR AL-QURAN

MUAR 2 Mac - Sebanyak 56 pakar tafsir al-Quran akan ditempatkan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini bagi membantu masyarakat Islam memahami dan menghayati kandungan kitab suci itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka akan dilantik Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan hanya yang berkelayakan akan memainkan peranan tersebut.

"Dalam mesyuarat kerajaan negeri yang diadakan, saya telah mencadangkan pelantikan itu selain kita galakkan budaya pembacaan al-Quran, kita juga perlu memahami terjemahannya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir di sini kelmarin.

Menurut Abdul Ghani, pakar tafsir terbabit akan dipastikan merupakan lulusan agama peringkat tertinggi seperti daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang akan membantu masyarakat untuk lebih mendalami al-Quran.

"Dalam masyarakat Melayu, nenek moyang kita boleh membaca al-Quran dengan tajwidnya sekali, namun tidak dapat memahami kandungannya kerana tidak menguasai bahasa Arab.

"Oleh itu, usaha ini diharap dapat membantu masyarakat untuk faham terjemahannya," katanya.

Pada majlis tersebut, Abdul Ghani yang juga bekas murid sekolah berkenaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 untuk membiayai pembinaan bangunan dewan sekolah itu.

Beliau juga akan membantu sekolah tersebut bagi mendapatkan tanah berhampiran untuk dijadikan kawasan padang sekolah itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 MAC 2009

Tiada ulasan: