PENGUNJUNG SETIA

24 Mac 2009

SENI SILAT SENDENG MAKIN DIMINATI

MUAR: Pasukan Seni Silat Sendeng, Bukit Kangkar, di sini, semakin diminati ramai bukan saja untuk memenuhi menerima undangan daripada penduduk tempatan, malah di luar kawasan.

Mereka diundang mempersembahkan kesenian warisan Melayu itu di majlis amal, keraian sempena sambutan hari kebesaran, termasuk Hari Kemerdekaan di peringkat daerah.

Malah, sejak kebelakangan ini, pasukan itu menerima undangan bagi menyerikan majlis perkahwinan, termasuk di Selangor, Melaka, Johor Bahru selain di daerah ini dan Ledang.

Penolong jurulatih pasukan itu, Rozaidi Othman, 22, berkata pasukan itu yang ditubuhkan pada 2002 disertai 50 remaja lelaki dan perempuan berusia lapan tahun hingga 16 tahun.

"Persatuan itu ditubuhkan bertujuan mengembangkan serta mempertahankan kesenian silat yang menjadi warisan bangsa Melayu zaman berzaman supaya tidak pupus di telan zaman.

"Di samping itu, penubuhannya dapat menanam semangat remaja supaya cinta dan tidak memperlekehkan kesenian Melayu, sekali gus mengangkat martabat bangsa dalam bidang seni silat di persada antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas pasukan itu mengadakan persembahan pada satu majlis perkahwinan di Taman Tun Dr Ismail 5, di sini, baru-baru ini.

Rozaidi berkata, kesenian silat sendeng terbahagi kepada beberapa jenis silat, termasuk seni mempertahankan diri, silat sembah kepada pembesar, silat peradaban pengantin dan seni silat tarian.

Katanya, disebabkan terlalu banyak menerima tempahan, pihak pengurusan persatuan terpaksa menetapkan tempoh sebulan kepada penganjur majlis, jika ingin mengundang pasukan itu menyerikan majlis mereka.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima lebih 30 tempahan, termasuk di luar kawasan selain di daerah ini dan Ledang. Bagi mereka yang berminat untuk mengundang pasukan ini, boleh menghubungi Ahmad Nazri melalui telefon bimbit 013-6521069.

Seorang peserta, Mohd Faizal Roslan, 19, berkata penyertaannya dalam pasukan Seni Silat Sendeng bukan bertujuan untuk bermegah dengan rakan lain tetapi kerana mahu meningkatkan martabat kesenian itu.

"Ini kerana seni silat Sendeng mempunyai beberapa jurus yang sesuai dipelajari remaja, terutama kesenian peradaban dan kesopanan ketika mempersembahkan silat.

SUMBER: BERITA HARIAN, 24 MAC 2009

Tiada ulasan: