PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2009

USAH BIAR MARINA MUAR JADI GAJAH PUTIH: GHANI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

ABDUL GHANI menyerahkan cek bantuan kepada nelayan yang mengalami kerugian akibat kerja pengorekan muara Sungai Muar.

TANGKAK: Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Ghani Othman meminta pembukaan Marina Muar di Tanjung Emas, Muar dipercepatkan bagi mengelakkannya menjadi projek gajah putih, sekali gus menyebabkan bangunan dibina kira-kira tiga tahun lalu bertukar usang.

Beliau berkata, marina yang dibina di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan dan diuruskan Jabatan Laut itu sepatutnya sudah lama dibuka, tetapi masih gagal beroperasi sebagai tempat persinggahan dan kemudahan pelayar.

“Saya bimbang ia terbiar begitu saja. Marina itu untuk bot pelayar dan kita berharap ia tidak terbiar kerana akan menjadi projek gajah putih kerana bangunannya juga semakin usang," katanya.

Abdul Ghani berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan bernilai RM157,000 kepada 88 nelayan Sungai Kesang dan Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini kelmarin.

Bantuan disumbangkan kerajaan negeri berjumlah RM107,000, manakala syarikat menjalankan kerja pengorekan muara Sungai Muar menyumbang RM50,000 bagi membantu nelayan berkenaan yang kerosakan jaring akibat projek terbabit.

Abdul Ghani berkata, pembinaan marina di muara Sungai Muar juga dipercayai menyebabkan sungai semakin cetek selain alur ombak berubah ke arah pantai yang terletak berhampiran projek itu.

Katanya, kerja mengorek muara Sungai Muar terpaksa dijalankan pada akhir 2007 dan muara itu dijangka perlu diperdalamkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkannya terus cetek.

"Muara Sungai Muar dikatakan cetek terutama apabila marina dibina di Tanjung Emas. Sebenarnya kerajaan Johor tidak tahu hujung pangkal pembinaannya kerana ia adalah projek kerajaan Persekutuan.

“Pada masa ini, kerajaan negeri tidak tahu perancangan untuk marina itu kerana ia diserahkan kepada Jabatan Laut tetapi berharap pembukaannya dapat dipercepatkan supaya kemudahan sedia ada dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.

Menteri Besar berkata, selain Muar, satu lagi marina terletak di Tanjung Pengelih dekat Pengerang untuk kemudahan pelayar selain merebut peluang daripada kedudukan negeri ini di persisiran pantai Selat Melaka dan Laut China Selatan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 23 MAC 2009

Tiada ulasan: