PENGUNJUNG SETIA

27 Mac 2009

RM235,000 NAIK TARAF 11 SEKOLAH

MUAR 26 Mac _ Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM235,000 bagi membantu menaik taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran di 11 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di daerah Muar dan Ledang.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan masyarakat India terutamanya dalam bidang pelajaran.

''Sebanyak RM200,000 daripada peruntukan ini adalah untuk membina bangunan tambahan bagi SJKT Ladang Tangkak di Sagil.

"Baki daripada peruntukan ini pula diagihkan untuk kesemua SJKT di dua daerah ini bagi memastikan kemudahan pengajaran mencukupi dan bantuan pengurusan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peruntukan Kepada SJKT daerah Muar dan Ledang di SJKT Jalan Khalidi di sini semalam.

Menurut Asojan, bantuan kewangan khas itu dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor dan peruntukan peribadinya selaku Exco kerajaan negeri.

Beliau memberitahu, bagi menaik taraf SJKT secara menyeluruh di seluruh negara, Kerajaan Pusat akan mengeluarkan peruntukan berjumlah RM130 juta menerusi pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan.

''Peruntukan untuk pembangunan SJKT ini akan turut melibatkan pemindahan sekolah-sekolah dari kawasan terpencil ke kawasan yang le bih ramai penduduk.

''Sehingga kini, sebanyak lima buah SJKT di negeri Johor telah dikenal pasti untuk dipindahkan dan usaha mencari tapak baru masih di peringkat perancangan,'' katanya.

Beliau berkata, antara SJKT yang akan terlibat dengan pemindahan ialah SJKT Ladang Sungai Papan di Kota Tinggi ke Bukit Indah, Johor Bahru dan pemindahan SJKT Bukit Serampang ke Bukit Gambir.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 MAC 2009

Tiada ulasan: