PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2009

KETUA MENTERI DIGESA BERSIKAP TELUS

LEDANG 22 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu bersikap telus dalam isu peletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, ia merupakan isu serius kerana membabitkan peletakan jawatan pada peringkat pentadbiran kerajaan negeri dan bukan dalam parti politik.

"Isu ini membabitkan kepentingan rakyat Pulau Pinang, maka Ketua Menteri yang mengetuai pentadbiran negeri patut memberi penjelasan sejelas mungkin mengenai peletakan jawatan itu dan bukannya berdolak-dalik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Khemah Kerja MCA Bahagian Pagoh di Gunung Ledang Resort di sini hari ini.

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Exco kerajaan negeri yang akan berkuat kuasa 8 April ini.

Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP bagaimanapun enggan mengulas mengenai sebab-sebab peletakan jawatan Mohammad Fairus.

Menurut Tee Keat, dalam tempoh sesingkat 24 jam, beliau mendapati terlalu banyak perubahan mengejut dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Kalau perkara beginipun, tidak dapat dijelaskan secara ikhlas dan telus, bagaimana kita harapkan dia mengotakan janji untuk mentadbir Pulau Pinang secara telus," katanya.

Katanya, biarpun penjelasan mengenai isu tersebut akan diberikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, peletakan jawatan yang berlaku bukan melibatkan skop parti politik.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MAC 2009

Tiada ulasan: