PENGUNJUNG SETIA

21 Mac 2009

TERNAKAN KUPANG DIMODENKAN

LEDANG 20 Mac - Aktiviti ternakan dan pembiakan kupang di perairan membabitkan kawasan Iskandar Malaysia akan dimodenkan supaya menjadi lebih efisyen dan dapat menjadi tarikan pelancongan ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, dua kawasan yang dikenal pasti bagi pemodenan kegiatan pembiakan berkenaan adalah di Sungai Johor dan Sungai Melayu di Johor Bahru.

''Dalam konteks pemodenan, kerajaan negeri telah meminta Jabatan Perikanan agar menghasilkan struktur pembiakan yang lebih efisyen dan lebih cantik berbanding sekarang ini.

''Aktiviti pembiakan ini perlu dikemaskan bukan sahaja untuk kegiatan ekonomi hasil laut malah dapat dijadikan tarikan pelancongan dari sudut pembangunan kawasan perairan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek bantuan kepada para nelayan di sekitar daerah Ledang dan Muar di Dewan Jubli Intan, Tangkak di sini hari ini.

Menurut Abdul Ghani, sehingga kini, terdapat sebanyak 120 pengusaha terlibat dalam kegiatan pembiakan kupang di kawasan perairan dari Tebing Runtuh sehingga Pasir Putih.

Jelas beliau, usaha bagi memodenkan kegiatan berkenaan akan turut melibatkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Sementara itu, Abdul Ghani memberitahu, peruntukan sebanyak RM157,000 telah dikeluarkan bagi membayar pampasan kepada 88 nelayan di Sungai Muar yang terjejas pendapatan akibat pukat mereka rosak berikutan kerja-kerja mendalamkan sungai tersebut tahun lalu.

Katanya, sebanyak RM107,000 daripada peruntukan tersebut telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri manakala bakinya disumbang oleh syarikat kontraktor kerja-kerja pengorekkan sungai tersebut.

''Kami meyakini yang berlakunya kerosakan kepada peralatan para nelayan akibat kerja-kerja yang dilakukan dan keputusan telah diambil untuk membantu para nelayan,'' katanya.

Tambahnya, pampasan berkenaan akan diagihkan kepada para nelayan terbabit bergantung kepada kerugian peralatan yang dialami mereka.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MAC 2009

Tiada ulasan: