PENGUNJUNG SETIA

16 Mac 2009

BEKAS PENAGIH PELAJARI KEMAHIRAN URUT REFLEKSOLOGI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

MUAR: Seramai 30 pelatih Pusat Serenti Muar, dekat sini menjadi kumpulan perintis kursus urut refleksologi di negara ini melalui latihan selama tiga bulan yang dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat refleksologi berpengalaman.

Kursus secara percuma itu dikendalikan kakitangan Pusat Refleksologi Suria, Pusat Tabib SK dan Pusat Pemulihan Teraju dengan membabitkan pelatih yang mempunyai minat dalam bidang itu dan mempunyai tempoh antara empat hingga lima bulan sebelum dibebaskan dari pusat serenti berkenaan.

Kursus itu kali pertama diadakan di pusat serenti di negara ini sebagai tambahan kepada kursus kemahiran sedia ada termasuk vokasional, bengkel, mekanik dan pertanian.

Penganjuran kursus itu menerima sambutan menggalakkan apabila kebanyakan pelatih terbabit tekun belajar teknik mengurut kaki dengan betul dan hanya selepas kira-kira tiga minggu saja, mereka sudah bersedia serta mampu mengurut kaki dengan betul.

Komandan Pusat Serenti Muar, V M Asok Kumar, berkata kursus refleksologi itu boleh memberi kemahiran kepada bekas pelatih untuk mencari rezeki selepas keluar dari pusat berkenaan.

Beliau turut berterima kasih dengan inisiatif NGO dan pusat refleksologi terbabit yang menjalankan latihan secara percuma kerana mengikut pasaran semasa, kursus selama tiga bulan itu membabitkan kos kira-kira RM5,000 bagi setiap pelatih.

"Kursus kemahiran itu penting untuk pelatih hidup di luar apabila dibebaskan kelak kerana umum mengetahui mengenai keaiban masyarakat terhadap bekas penagih dadah. Sehubungan itu, jika pelatih mempunyai kemahiran, mereka boleh mencari rezeki sendiri," katanya.

Katanya, kursus refleksologi menjadi tambahan kepada program kemahiran lain yang di pusat serenti itu termasuk dalam bidang vokasional, bengkel dan sektor pertanian, sekali gus mempelbagaikan program sedia ada.

Beliau berkata, pemilihan pelatih kursus refleksologi berdasarkan kepada minat dan hanya membabitkan pelatih fasa tiga iaitu mereka yang akan dibebaskan dalam tempoh empat atau lima bulan.

Katanya, pihaknya merancang menjalankan kursus itu secara berterusan di pusat serenti, tambahan pula perkhidmatan refleksologi semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat negara ini.

Sementara itu, Perunding Tabib Cina Pusat Refleksologi Suria, Chia Sui Kin, berkata tempoh perkhidmatan refleksologi itu mengambil masa kira-kira 45 minit dan bagi mereka yang baru dalam bidang itu boleh mendapat upah kira-kira RM20 bagi setiap pelanggan.

Katanya, bidang itu boleh memberi pendapatan paling kurang RM1,000 sebulan, manakala mereka yang mempunyai kemahiran tinggi boleh mendapat pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

"Jika betul-betul minat untuk belajar bidang itu seseorang yang mempunyai kepakaran boleh memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan," katanya.

Chia berkata, beliau juga merancang untuk membuka pusat refleksologi baru bagi memberi peluang pekerjaan kepada bekas pelatih pusat serenti itu.

Sementara itu, seorang pelatih yang hanya dikenali sebagai Mazlan, 44, berkata beliau menyertai program itu kerana minat dalam bidang refleksologi dan akan menggunakan kemahirannya sebagai pekerjaan apabila dibebaskan dari pusat berkenaan akhir Jun ini.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 MAC 2009

Tiada ulasan: