TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

20 Mac 2009

HASRAT KAJI SEJARAH TEMENGGONG MUAR TERCAPAI

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

MUAR: Hasrat seorang pengkaji sejarah dari Jepun, menjejakkan kakinya ke daerah ini, akhirnya tercapai apabila beliau dibawa meninjau kesan sejarah pemerintahan Temenggong Muar, di Kampung Pengkalan Kota, Durian Condong, di sini, baru-baru ini.

Profesor Mika Okushima, 39, dari Kanda University of International Studies, Jepun, itu juga dibawa melawat kesan peninggalan sejarah Temenggong Muar di Kampung Lubuk Batu, Segamat.

Beliau diiringi Pengerusi Persatuan Waris Temenggong Muar (Pewaris), Raja Abdul Rahman Raja Basok, dalam usaha membantu beliau menerbitkan buku sejarah mengenai pemerintahan Temenggong Muar untuk dijadikan bahan rujukkan di universiti berkenaan.

Okushima, 39, berkata beliau dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di negaranya sedang berusaha menerbitkan buku sejarah mengenai pemerintahan Temenggong Muar yang dikatakan berkaitan dengan pemerintahan Kesultanan Johor Lama.

Beliau mendakwa, dia sudah menjalankan kajian mengenai pemerintahan Kesultanan Johor Lama sejak 10 tahun lalu termasuk mengadakan lawatan di beberapa daerah di Kalimantan, Indonesia, Sabah dan Sarawak.

"Lawatan kami ke daerah ini dan Segamat dapat melengkapkan lagi hasil kajian yang dilakukan sebelum ini, sekali gus membolehkan buku yang bakal diterbitkan itu mengandungi bahan sejarah tempatan yang lengkap.

"Saya gembira dan bersyukur kerana berpeluang melihat sendiri enam keturunan makam Temenggong Muar, di Segamat dan satu lagi di daerah ini iaitu, di Kampung Pengkalan Kota,” katanya yang fasih berbahasa Melayu/Indonesia ketika ditemui di kampung berkenaan.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Pengkalan Kota, Anuar Hamzah dan Tengku Khairul Azuan Tengku Saedin, 26, iaitu salah seorang waris keturunan Almarhum Sultan Hussin Shah, Sultan Johor ke-16 yang kini menetap di Bukit Siput, Segamat.

Awal Januari lalu, Okushima menghantar beberapa e-mel dalam bahasa Melayu kepada Pewaris dengan menyatakan hasrat untuk datang ke Muar bagi meninjau kesan peninggalan sejarah pembesar Muar itu.

Antara isi kandungan e-melnya, beliau menyatakan beliau dari Jepun dan seorang pengkaji antropologi serta pernah menyelidik sejarah daerah Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

Beliau mendapatkan maklumat mengenai sejarah pemerintahan Temenggong Muar melalui laman lama web Pewaris.com selepas beberapa laporan mengenai disiarkan di akhbar ini, baru-baru ini.

Hasil kajiannya selepas bertemu dengan penduduk tertua di wilayah Kalimantan, Sabah dan Sarawak, beliau berjaya mengumpul sejarah lisan mengenai Kesultanan Bulungan, di sempadan Sabah-Indonesia.

Katanya, kajian itu mendapati seorang putra Sultan Johor dikatakan berkahwin dengan saudara perempuan Sultan Bulungan, Kaharudin 1 dan meninggal dunia pada 1850, di mana keturunannya menjadi bangsawan Muar.

Abdul Rahman berkata, di Segamat, Okushima diberi penerangan mengenai kesan peninggalan sejarah Temenggong Muar oleh mantan Penghulu Mukim Sungai Segamat, Ahmad Sulaiman, 59, bersama Tengku Khairul Azuan.

Katanya, Okushima dibawa melawat makam Temenggong Muar serta kerabat di Kampung Lubok Batu.

Beliau berkata, Okushima juga diberi penerangan mengenai sejarah pembukaan Segamat oleh Bendahara Tepok atau Bendahara Lubok Batu iaitu keturunan Bendahara Kesultanan Melayu Melaka terakhir pada 1511.

Anuar pula berkata, mengikut Sejarah Melayu, Bukit Kepong dan Lenga, hulu Sungai Muar, asalnya dikenali sebagai Teluk Dalam, kerana di situ terdapat sebuah telok yang dalamnya 14 meter.

Beliau berkata, di tepi tebing teluk yang tinggi di Teluk Dalam itu dikatakan tempat membina istana pemerintah Muar yang berpusat di hulu Sungai Muar.

Menurut Tengku Khairul, sejarah pemerintahan Temenggong Muar berkait rapat dengan pemerintahan Sultan Hussin Shah dan Sultan Ali yang bermula pada 1707.

Beliau berkata, pemerintahan Temenggong Muar bermula pada 1707 dan berakhir pada tahun 1935.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 MAC 2009

6 ulasan:

seyogia berkata...

Saya ingin memohon kerjasama serta bantuan dari PEWARIS dan PETEMU serta individu yang sudi dalam menjejaki salasiah keluarga saya melalui salasiah dua orang tokoh berikut:
1. Dato' Noh Gadut (mantan Mufti Johor)
2. Tun Musa Hitam (mantan Timbalan Perdana Menteri)

Ini kerana keluarga bapa saya mempunyai pertalian darah dengan kedua2 tokoh tersebut.

Yusri Bin Ahmad(@Abas)
yusri.ahmad@gmail.com

Tanpa Nama berkata...

Sy ade mndpt kad jemputan utk reunion petemu pd thn lps.tp sy dan abah sy tak pasti dri susur galur yg mne satu.moyang sy aminah bnti abd Rahman.kbnykn ahli kluarga tggl di kg gelang chinchin, segamat.pd siapa sy nk wt rujukan?

Tanpa Nama berkata...

Sy ade mndpt kad jemputan utk reunion petemu pd thn lps.tp sy dan abah sy tak pasti dri susur galur yg mne satu.moyang sy aminah bnti abd Rahman.kbnykn ahli kluarga tggl di kg gelang chinchin, segamat.pd siapa sy nk wt rujukan?

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum dan selamat sejahtera...
saya ingin meminta pendapat.. saya ingin mengkaji tentang Sengkang di Bukit Gambir... tempat ni pernah satu ketika dahulu menjadi tanaman ubi kayu terbesar di muar ketika zaman penjajahan jepun 1941-1945.. ketika itu dikenali sebagai zaman ubi kayu kerana kekurangan makanan... macam mana sy bleh dptkan rujukan atau bahan2 primer? terima kasih

mohd yosdi mat berkata...

haa. . ? benar kah lenga dan bkt.kepong bernama telok dalam dulu,dan adanya istana disitu ? seperti kata sejarah melayu ! setahu saya telok dalam tu dimuara sg.muar,spt catatan sesetengah blog ? tolong kupas sikit ! !

Tanpa Nama berkata...

Raja Abdul Rahman Bin Raja Basok nasabnya bukanlah direct sebelah temenggong muar... ini kerana, beliau secara lebih tepat lagi adalah berjurai dari Royal House Of YamTuan Muda Riau iaitu Raja Jaafar... Temenggong Muar hanya memakai gelaran Engku & Wan sahaja.