PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2009

TERNAKAN KUPANG BERPOTENSI TARIK PELANCONG

TANGKAK: Perusahaan ternakan kupang dalam sangkar di sepanjang Selat Johor dan Sungai Melayu di negeri ini berpotensi dimajukan, termasuk sebagai tarikan pelancong dengan penggunaan sangkar yang lebih menarik dan berkesan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pada masa ini terdapat kira-kira 120 pengusaha kupang di kawasan itu yang mengeluarkan kupang berkualiti dan boleh mendapat pasaran yang baik.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan meminta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) bekerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi memodenkan lagi penggunaan sangkar ternakan kupang di kawasan berkenaan.

"Kita mahu struktur sangkar lebih moden supaya perusahaan itu lebih efisien dan cantik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Nelayan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Selain itu, katanya, kedudukan Selat Johor di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia memberi kelebihan untuk industri berkenaan dimajukan dan pada masa sama boleh menjadi tarikan pelancong.

Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak berkaitan supaya menyediakan kertas cadangan untuk pemodenan projek ternakan kupang dalam sangkar itu sebelum ia dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.

Katanya, pemodenan ternakan kupang dalam sangkar di Selat Johor dan Sungai Melayu juga akan dijadikan projek perintis sebelum ia dilaksanakan di kawasan lain.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk melaksanakan projek ternakan kupang dalam sangkar di Sungai Kesang, Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Muar.

SUMBER: BERITA HARIAN, 23 MAC 2009

Tiada ulasan: