PENGUNJUNG SETIA

20 Mac 2009

YPKDT PERKUKUH INSTITUSI KEKELUARGAAN

MOHD TAHA (tengah) memberikan nama kepada seorang bayi sempena Program Pengamalan Sakinah di Surau Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

MUAR: Institusi kekeluargaan yang kukuh, bukan saja dapat mewujudkan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga, tetapi dapat mengelak generasi muda daripada terjebak dalam kegiatan gejala sosial.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa memberi perhatian terhadap tingkah laku anak-anak, selain melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan untuk membantu meningkatkan pembangunan minda generasi muda.

Pegawai Penyelaras Yayasan Pembangunan Keluarga Johor Darul Ta'zim (YPKDT) daerah Muar, Salehoddin Sulaiman, berkata langkah itu juga selaras dengan ajaran yang terkandung di dalam program Modul Sakinah yang diperkenalkan kerajaan negeri di negeri ini, sejak lebih 10 tahun lalu.

Beliau berkata, melalui program itu masyarakat Islam diberikan bimbingan dan tunjuk ajar, dengan penekanan terhadap pentingnya ibu bapa mendidik anak serta melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan agama serta mengamalkan cara hidup berlandaskan ajaran al- Quran dan sunnah.

"Bagi memastikan garis panduan yang terdapat dalam program Modul Sakinah dilaksanakan secara menyeluruh, YPKDT kini memperluaskan lagi program itu kepada program Pengamalan Sakinah, sejak dua tahun lalu.

"Langkah itu bertujuan membimbing masyarakat Islam supaya sentiasa mengukuhkan institusi kekeluargaan untuk menjana keluarga bahagia di kalangan masyarakat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Pengamalan Sakinah DUN Gambir anjuran bersama YPKDT Daerah Muar dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah, Pegawai Penggerak Sakinah Daerah, Zakaria Muhamad, Pengerusi JKKK Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, Ketua UMNO Cawangan, Muslim Jasmin, Imam Masjid Jamek Parit Kassan, Mohd Taha Husnan, dan Pengerusi Surau Dua Parit Kassan, Mos Pandi.

Katanya, Pegawai Penggerak Sakinah yang dilantik di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, diarahkan meningkatkan lagi program Pengamalan Sakinah sehingga ke peringkat akar umbi, selain meneruskan siri ceramah di masjid dan surau, sebagaimana diadakan sebelum ini.

Salehoddin berkata, melalui program Pengamalan Sakinah, Pegawai Penggerak Sakinah akan turun padang untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar terhadap acara dan amalan yang dilakukan oleh masyarakat Islam dalam kehidupan seharian, melalui majlis keraian, kenduri kendara, sama ada dianjurkan secara berkelompok atau secara individu.

Beliau berkata, antara acara yang diberikan tumpuan ialah, menyambut kelahiran bayi, bercukur jambul, memberi nama bayi dan program berkaitan dengan majlis keraian, kenduri kahwin, menziarahi dan memandikan jenazah serta majlis membaca Yassin dan tahlil.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelak penganjur majlis melakukan perkara khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam, sekali gus boleh mengelirukan masyarakat.

"Ini kerana ada antara acara yang diadakan sebelum ini, dikenal pasti banyak dipengaruhi budaya agama lain yang jika diamalkan berterusan boleh memesongkan akidah," katanya.

Sempena program itu, diadakan acara bercukur rambut dan menamakan bayi yang baru lahir bagi pasangan Mohd Khairi Paimin dan Sumarmi Barnin.

Acara lain, ialah penyerahan taklif iaitu tanggungjawab keagamaan daripada ibu bapa kepada tujuh remaja yang sudah akil baligh, bagi memastikan mereka mengamalkan ajaran yang terkandung dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.

Sementara itu, Zakaria berkata, melalui kegiatan yang dianjurkan melalui Program Pengamalan Sakinah di peringkat kampung dan mukim membolehkan semua lapisan masyarakat Islam setempat sama ada lelaki, wanita, dewasa, generasi muda dan kanak-kanak mengambil bahagian dalam acara yang diadakan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 MAC 2009

Tiada ulasan: