|
LEDANG 29 Mac - Kursus urut refleksologi yang ditawarkan kepada pelatih-pelatih Pusat Serenti Muar merupakan sebuah pengisian yang amat bermanfaat untuk masa depan para pelatih terbabit.
Pendedahan yang diberikan itu ternyata membolehkan pelatih terbabit menerokai lapangan yang berkait rapat dengan kesihatan di samping menjadikannya sebagai sumber pendapatan.
Menurut seorang pelatih yang hanya mahu dikenali sebagai Jas, 25, peluang untuk mengikuti kursus tersebut adalah amat berguna untuknya apabila dibebaskan dari pusat serenti nanti.
"Sebelum ini saya ada juga belajar sikit-sikit mengenai urut, namun dalam kursus ini saya belajar lebih mendalam mengenai sel-sel dan urat-urat yang perlu dikenal pasti.
"Kursus pengisian seperti ini amat bermanfaat dan semua orang macam berebut mahu mengikutinya," katanya yang telah lapan bulan berada di dalam pusat serenti tersebut.
Katanya, kursus tersebut amat mudah untuk difahami dan dia serta pelatih-pelatih yang lain mempelajarinya dua jam seminggu.
Sementara itu, menurut seorang lagi pelatih yang dikenali sebagai Din, 39, dia amat menghargai usaha tidak mengenal penat lelah tenaga pengajar kursus tersebut dalam memberi ilmu kemahiran kepada para pelatih sepertinya.
"Dalam tiga minggu mengikuti kursus ini, saya tidak pernah ketinggalan kerana saya memang berminat untuk mempelajarinya," katanya yang merupakan bapa kepada tiga orang anak.
Jelasnya, dia berhasrat untuk memperkembangkan kemahiran tersebut apabila dibebaskan kelak bagi membolehkannya menyara keluarga.
Dalam pada itu, bagi seorang lagi pelatih yang dikenali sebagai Eddy, buat ketika ini, dia hanya berpeluang mempraktikkan kemahiran barunya itu kepada pegawai-pegawai di pusat serenti tersebut.
"Kami banyak belajar mengurut kaki dalam tempoh 10 hingga 15 minit dan ia merupakan teknik yang amat menyeronokkan," katanya.
Katanya, tidak sukar untuk mempelajari teknik urut refleksologi itu kerana dia sentiasa menerima dorongan yang positif daripada tenaga pengajar untuk mempertingkatkan lagi kemahirannya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MAC 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan