PENGUNJUNG SETIA

30 Mac 2009

PERSEDIAAN KELUAR SERENTI


MINAT yang mendalam membolehkan pelatih pusat serenti mempraktikkan kemahiran urut refleksologi yang dipelajari mereka kepada para pegawai di Pusat Serenti Muar, Ledang, Johor, baru-baru ini. - utusan / kamil maslih

LEDANG 29 Mac - Sama ada disedari atau tidak, pelbagai peranan telah dimainkan oleh anggota masyarakat bagi membolehkan golongan bekas penagih dadah mampu kembali pulang ke pangkuan masyarakat.

Usaha berkenaan penting bagi memastikan golongan terbabit tidak terjerumus lagi dalam penyalahgunaan najis dadah.

Terbaru, Pusat Serenti Muar telah memperkenalkan kursus kemahiran urut refleksologi kepada para pelatih pusat serenti terbabit sebagai persediaan mereka menghadapi dunia luar.

Menurut Komandan pusat serenti berkenaan, V. M. Asok Kumar, kursus kemahiran tersebut adalah yang julung kali diadakan di pusat serenti di negara ini.

Jelas beliau, dengan mendapat kerjasama pakar-pakar urut refleksologi dari Johor Bahru, kursus tersebut telah ditawarkan sejak pertengahan Februari yang lalu.

"Biasanya, pelatih-pelatih yang keluar dari pusat pemulihan akan diberikan stigma negatif daripada masyarakat.

"Dengan adanya kemahiran (urut refleksologi) ini, kita berharap mereka akan bersikap lebih positif dan boleh menjadikan kemahiran itu sebagai sumber pendapatan untuk mencari rezeki," katanya.

Katanya, matlamat mengadakan kursus tersebut adalah untuk memberi kepelbagaian terhadap kursus-kursus yang ditawarkan seperti kursus pertukangan, kraftangan dan pertanian.

"Sehingga kini, sebanyak 30 pelatih telah mengikuti kursus urut refleksologi ini dan kami tawarkan kepada mereka yang akan bebas dalam tempoh empat bulan," katanya.

Jelas Asok, berdasarkan respon positif yang diterima pada kursus tersebut, pihaknya berhasrat untuk menjadikannya sebagai salah satu kursus tetap dan memperluaskannya ke pusat serenti lain.

Sementara itu, menurut salah seorang tenaga pengajar urut refleksologi di pusat serenti berkenaan, Francis Heng, sumbangan yang diberikan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya kepada masyarakat.

"Bidang urut refleksologi ini merupakan bidang yang semakin diterima ramai dan kita boleh nampak semakin banyak pusat urut refleksologi telah dibuka," katanya.

"Bagi mereka yang mungkin baru, pendapatan yang diterima selama sebulan adalah tidak kurang dari RM1,000 namun kalau mereka sudah sampai tahap pakar, pendapatannya boleh mencecah lebih RM3,000," katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memastikan pelatih-pelatih yang menjalani kursus tersebut benar-benar berkelayakan dengan ujian akan diberikan sehingga mereka lulus.

"Kalau di luar, kursus selama tiga bulan ini bernilai RM5,000, namun kami berikannya secara percuma supaya mereka boleh berdikari apabila keluar dari pusat serenti nanti,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MAC 2009

Tiada ulasan: