PENGUNJUNG SETIA

12 Mac 2009

IMAM RUGI RM30,000 RUMAH TERBAKAR

LEDANG 11 Mac _ Seorang imam kerugian RM30,000 apabila sebahagian daripada rumahnya di Kampung Sialang, Tangkak di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Imam Masjid Kampung Sialang, Idris Ismail, 63, berkata, beliau bagaimanapun bersyukur kerana anak lelakinya, Idrul Hafifi, 21, yang berada dalam rumah ketika kejadian tersebut terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, beliau dan isterinya sedang berada di bandar Muar untuk mengikuti kelas agama.

''Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada jiran yang memberitahu rumah saya terbakar.

''Alhamdulillah, jiran saya itu kemudiannya menghubungi pihak bomba untuk memadam kebakaran," katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Sialang.

Menurut Idris, sebaik tiba di rumah, beliau mendapati pihak bomba telah memadam kebakaran yang memusnahkan bahagian ruang tamu dan dua bilik di dalam rumahnya.

''Sebenarnya, saya risaukan anak kerana dia mempunyai masalah saraf dan banyak kali termenung selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tetapi syukur dia terselamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian itu,'' katanya.

Hasil siasatan awal pihak bomba, kebakaran tersebut berkemungkinan berpunca daripada litar pintas.

Menurut Idris, rumah itu telah didiami keluarganya sejak 30 tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa penghargaan terhadap kehadiran ramai pihak yang bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada keluarganya.

''UMNO Bahagian Tangkak telah bersetuju memberi bantuan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tangkak, Goh Tee Tee juga melawat rumah saya tadi dan menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban,'' katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 MAC 2009

Tiada ulasan: