PENGUNJUNG SETIA

05 Mac 2009

56 PAKAR TAFSIR AL-QURAN

MUAR: Kerajaan Negeri Johor bakal melantik 56 Pakar Tafsir al-Quran yang akan ditempatkan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memastikan masyarakat Islam di negeri ini, bukan hanya mahir mengaji tetapi juga faham terjemahan dan maksudnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, jawatan baru yang diwujudkan itu diletakkan di bawah Jabatan Agama Johor (Jaj) dan pakar tafsir al-Quran itu akan dilantik di kalangan mereka yang berkelulusan universiti tempatan atau antarabangsa.

"Masyarakat Islam rata-rata mahir mengaji al-Quran dan sudah dilatih sejak kecil lagi, malah ada pembacaan lengkap dengan taranumnya. Bagaimanapun, masih ramai yang tidak faham dan mahir dengan maksud apa yang dibacakan.

"Kerajaan melantik pakar tafsir yang akan ditempatkan di semua DUN bagi memastikan masyarakat Islam bukan saja mahir membaca al-Quran tetapi turut memahami maksudnya," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Ke-30 Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, M Asojan; Guru Besar sekolah itu, Hawa Dumun dan Yang Dipertua PIBG, Suib Kamari.

Abdul Ghani turut meluluskan peruntukkan RM300,000 untuk projek pembinaan dewan sekolah yang mempunyai 734 murid dan 51 guru itu.

Sementara itu, beliau meminta Jabatan Pelajaran Johor untuk tidak lagi membina projek di padang sekolah kerana ia mengganggu kegiatan pelajar dan guru.

Katanya, kira-kira enam tahun lalu, banyak padang sekolah di negeri ini terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan projek pembesaran dan pembinaan makmal komputer.

"Pada masa depan, saya mencadangkan padang sekolah dikekalkan dan tidak ada padang dikorbankan untuk memberi laluan kepada pembesaran atau pembinaan makmal komputer," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 MAC 2009

Tiada ulasan: