MUAR 1 Mac - Seramai 120 kakitangan Pioneer Technology (M) Sdn. Bhd., bergotong-royong membersihkan kawasan pesisiran Sungai Muar di Tanjung Agas di sini kelmarin.
Program yang bermula pukul 9 pagi itu turut mendapat kerjasama daripada SWM Environment Sdn. Bhd., yang bersama-sama mengutip sampah-sarap dan membersihkan kawasan awam di pesisiran tersebut.
Majlis perasmian program gotong-royong tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan turut dihadiri Pengarah Urusan Pioneer Technology, K. Miyamura.
Hamim dalam ucapannya memuji langkah yang diambil Pioneer untuk bersama-sama membersihkan kawasan awam yang berhampiran dengan kilang ia beroperasi.
"Program seperti gotong-royong ini diperlukan untuk menggerakkan kesedaran semua pihak dalam menjalankan tanggungjawab sosial menjaga kebersihan," katanya.
Beliau berharap langkah yang diambil oleh Pioneer itu dapat dicontohi syarikat korporat lain untuk bersama-sama menggerakkan aktiviti seumpama itu.
Katanya, adalah amat penting jika program gotong-royong diadakan dengan disertai semua pihak terutamanya anggota masyarakat agar dapat menanam sifat cintakan kebersihan dan alam sekitar.
"Kita perlu menjaga keindahan alam sekitar ini supaya ia dapat dinikmati juga oleh generasi anak cucu kita," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 MAC 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan