PENGUNJUNG SETIA

31 Mei 2012

MANGSA TETAK TUNJUK SIKAP ANEH

Wartawan Sinar Harian

kepala mangsa tetak
Juriah menerima 40 jahitan di kepala selepas diserang kelmarin.
Juriah disamping cucunya, Mohd Aikal Aniq dan Mohd Aiman Irfan.
Juriah disamping cucunya, Mohd Aikal Aniq dan Mohd Aiman Irfan.
 
LEDANG – “Tiga hari sebelum kejadian, arwah beritahu kakak sulungnya yang sudah meninggal dunia Januari lalu, mengajaknya datang ke rumah. Saya anggap ia hanya gurauan, namun tidak menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan."

Demikian luahan pilu mangsa tetak seorang gadis kurang siuman, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, yang turut kehilangan suaminya, Allahyarham Mohd Revuan @ Mohd Reduan Harun 73, dalam tragedi berdarah itu, kelmarin.

Menurut Juriah, paling tidak boleh dilupakannya juga apabila arwah suaminya turut menyatakan hasrat bermain buaian di funfair yang diadakan di Bukit Gambir ketika mereka dalam perjalanan pulang menaiki motor selepas menikmati mi bandung di restoran berhampiran kawasan itu.

“Bagaimanapun saya menolak permintaan arwah secara baik dan memberitahunya tidak sesuai untuk ke sana kerana sudah tua. Arwah pula hanya mendiamkan diri sahaja selepas saya berkata begitu dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.

Dalam insiden itu, Juriah yang turut menjadi sasaran serangan wanita berkenaan mengalami kecederaan parah dengan tiga tetakan di kepala dan terpaksa menerima 40 jahitan ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, kelmarin.

Dia yang masih trauma memberitahu Sinar Harian, di matanya masih terbayang-bayang tubuh kurus suaminya berlumuran darah dan tersandar lemah pada dinding bersebelahan bilik mandi.

“Pada mulanya, arwah cuba lari untuk selamatkan diri, tetapi gagal kerana terjatuh disebabkan lantai licin dipenuhi darahnya. Di situlah arwah diserang, ditetak bertalu-talu oleh suspek dan saya dengar dengan jelas tetakan itu seperti orang sedang mencencang ayam.

“Dalam hati, saya hanya mampu berdoa agar suami selamat,” katanya sambil menahan sebak.

Juriah berkata, dia tidak dapat membantu menyelamatkan arwah suaminya kerana keadaan suspek terlalu agresif.

"Saya hanya mampu merangkak ke hadapan rumah untuk meminta pertolongan jiran," katanya.

Bagaimanapun, Juriah bersyukur kerana ketika kejadian, dua cucu yang tinggal bersamanya tiada di rumah kerana mengikut ibu bapa mereka ke bandar Muar.

Sementara itu, anak tunggal Juriah, Mohd Tukiran, 37, berkata, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga suspek berikutan insiden yang menimpa bapanya itu.

“Buat sementara waktu, ibu akan tinggal bersama saya di Bakri selepas selesai hari ketiga kenduri tahlil arwah ayah. Kami akan pulang semula ke sini apabila cuti persekolahan tamat kerana anak-anak sekolah di sini.

“Keluarga suspek ada datang berjumpa dengan saya dan mohon maaf dengan insiden yang berlaku,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas maut apabila menjadi mangsa tetakan wanita dipercayai kurang siuman menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.41 pagi itu, mangsa, Mohd Revuan yang cedera parah pada bahagian kepala, badan serta putus satu jari tangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF Muar.

Isterinya, Juriah cedera di bahagian kepala.

Manakala suspek, seorang wanita berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir yang mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Allahyarham Mohd Revuan telah selamat dikebumikan malam kelmarin selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir.

SUMBER: SINAR HARIAN, 31 MEI 2012

'BUNYI TETAKAN SEPERTI CINCANG AYAM'

Jahitan di kepala Juriah Dimiyati selepas ditetak wanita mengamuk.
 
LEDANG 30 Mei - Isteri mangsa yang ditetak wanita mengamuk di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini semalam, masih tidak dapat melupakan bunyi tetakan di kepala dan badan suaminya yang kedengaran seperti orang menetak tulang ayam.

Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, berkata, bunyi itu amat mengerikan kerana dilakukan bertubi-tubi tanpa belas kasihan walaupun suaminya, Mohd. Revuan @ Mohd. Reduan Harun 73, tidak melawan.

Dia masih terbayang suaminya yang berlumuran darah tersandar lemah di dinding bersebelahan bilik mandi selepas cedera parah di kepala, badan, paha selain putus jari kanan.

“Pada mulanya arwah cuba lari untuk selamatkan diri tetapi gagal kerana tergelincir selepas terpijak darahnya sendiri yang banyak mengalir di lantai dapur.

“Di situlah arwah terus ditetak bertalu-talu dan saya dengar dengan jelas tetakan itu seperti orang sedang mencincang ayam. Walaupun begitu saya tetap berdoa agar suami selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.41 pagi semalam, Mohd. Reduan ditetak sehingga meninggal dunia manakala Juriah ditetak di bahagian tempurung kepala tetapi sempat diselamatkan jirannya.

Suspek yang merupakan wanita berusia 22 tahun itu dipercayai tidak siuman dan menyerang pasangan tersebut di bahagian dapur dengan dua bilah parang.

Juriah yang masih trauma dan menerima 40 jahitan tidak dapat membantu suaminya kerana suspek terlalu agresif selain keadaan dirinya yang lemah dan berlumuran darah.

Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, dia merayu pihak hospital untuk keluar semalam kerana ingin melihat jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 18, Sengkang di Bukit Gambir pukul 9.30 malam tadi.

Dia berkata, tiga hari sebelum tragedi berdarah itu, mangsa sering mengatakan kakak sulungnya yang telah meninggal dunia Januari lalu, mengajaknya datang ke rumah.

Bagaimanapun Juriah menganggap suaminya hanya bergurau tetapi tidak menyangka kata-kata itu merupakan satu petanda suaminya akan menemui ajalnya semalam.

Sementara itu, anak tunggal mangsa, Mohd. Tukiran, 37, berkata, dia sekeluarga reda dengan kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

Menurut Mohd Tukiran, mereka menerima takdir tersebut dengan hati terbuka dan kini menumpukan perhatian kepada usaha untuk memulihkan emosi ibunya dan keluarga suspek juga sudah datang memohon maaf atas kejadian itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 MEI 2012

KARNIVAL KERJAYA, PERNIAGAAN DAN KEMAHIRAN (KEPAK) 2012 PERINGKAT DAERAH LEDANG 06 JUN 2012



Pegawai Daerah Ledang, Yang Berbahagia Tuan Haji Ab Han Bin Ramin akan menghadiri seterusnya merasmikan Karnival Kerjaya, Perniagaan Dan Kemahiran (KEPAK)2012 Peringkat Daerah Ledang yang akan diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak Ledang pada 06 Jun 2012 jam 8.30 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Daerah  Ledang di talian 06-9787100.

MAJLIS MESRA RAKYAT BERSAMA PEMIMPIN @ MCA ROAD SHOW 03 JUN 2012


Majlis yang dianjurkan oleh MCA Bahagian Ledang ini akan dihadiri oleh Y.B. Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen, Menteri Pelancongan, Y.B. Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan, Y.B. Dato’ Wira Chor Che Heung, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan ramai lagi yang akan diadakan di Kawasan Lapang Tapak Pasar Malam Taman Tangkak Jaya pada 03 Jun 2012 jam 7.00 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat MCA Bahagian Ledang di talian 06-9791706.

30 Mei 2012

SUSPEK KEMURUNGAN


LEDANG: Wanita berusia 22 tahun yang mengamuk dan menetak pasangan warga emas, Revuan@Reduan Harun, 73, dan isterinya, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, di Kampung Parit Kerinchi di sini, pagi semalam, tidak mempunyai rekod pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod berkaitan penyakit mental dan tidak pernah mendapatkan rawatan penyakit berkaitan.

Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Sawah Ring itu dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 MEI 2012

NYAWA-NYAWA IKAN MINTA BANTUAN


LEDANG: "Sebaik tiba di rumah mangsa, saya melihat mak cik Juriah di depan pintu dengan darah terpancut keluar dari kepalanya sambil menunjukkan pak cik Reduan di dinding dapur yang meminta tolong dan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan," kata saksi kejadian amuk, Siti Aminah Wahab, 34.

Dalam kejadian pada jam 10.41 pagi itu, seorang warga emas, Revuan@Reduan Harun, 73, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditetak bertubi-tubi di badan dan kepala oleh seorang gadis berusia 22 tahun di rumahnya di Kampung Parit Kerinci di sini, semalam.

Isteri mangsa, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, parah selepas ditetak di kepala oleh gadis terbabit yang tiba-tiba datang ke rumah warga emas itu.

Siti Aminah berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur rumahnya kira-kira 200 meter dari rumah mangsa dan mendengar suara orang meminta tolong.

Menurutnya, jeritan meminta tolong itu berlarutan hampir 10 minit sebelum ibu saudaranya meminta dia melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia menunggang motosikal dan berhenti di depan rumah mangsa sebelum melihat Juriah berlumuran darah.

"Ketika itu, tiada orang lain di rumah melainkan pasangan warga emas itu dan pintu rumahnya terbuka.

"Saya melihat mak cik Juriah cuba berjalan ke pintu depan, namun keadaannya amat lemah.

"Mulutnya bergerak dan cuba berkata sesuatu, tetapi suaranya serak mungkin kerana terlalu lama menjerit meminta tolong," katanya.

Siti Aminah berkata, terkejut dengan kejadian itu dia menghubungi ambulans yang tiba 40 minit kemudian.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 MEI 2012

WARGA EMAS MANGSA AMUKAN GADIS


LEDANG: Hasrat sepasang suami isteri menikmati makan tengah hari bersama, bertukar tragedi apabila seorang gadis mengamuk bersenjatakan parang, menyebabkan warga emas itu terbunuh, manakala isterinya parah ditetak di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi di Kampung Parit Kerinci dekat Bukit Gambir, mangsa Mohd Revuan @ Mohd Reduan Haron, 73, yang parah ditetak di kepala, badan serta putus satu jari mati ketika dikejarkan ke Hospital Melaka.

Isterinya, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, pula berlumuran darah akibat parah ditetak di kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Juriah berkata, kejadian berlaku ketika beliau bersama suaminya berada di rumah, manakala semua anak mereka keluar bekerja.

"Ketika itu, saya sedang menyiapkan bahan untuk memasak makan tengah hari di dapur, manakala suami pula sedang berehat di depan rumah.

"Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan hentakan kuat pada pintu akibat ditendang dan saya bergegas meninjau sebelum melihat gadis terbabit berada di depan rumah kami sambil menjerit.

"Gadis itu mendakwa dia dirogol abang iparnya dan kata-katanya itu menyebabkan saya memarahinya tetapi tidak diendahkan sebelum dia mencapai dua bilah parang dari ruang rumah kami lalu melibasnya sambil terus menjerit," katanya.

Juriah berkata, melihat keadaan semakin tidak terkawal, beliau dan suami cuba merampas parang daripada tangan gadis itu tetapi gagal, malah dia terus melibas serta menetaknya dan suami bertalu-talu.

Katanya, beliau yang terkena tetakan di kepala sempat merangkak ke luar rumah sambil menjerit meminta pertolongan jiran.

"Saya sempat melihat suami ditetak pada bahu kiri hingga terjatuh berlumuran darah tetapi gadis itu berterusan menyerangnya hingga kakaknya bersama beberapa jiran tampil membantu.

"Jiran cuba membantu suami dengan menutup kesan tetakan pada badannya menggunakan kain selimut bagi menghentikan darah sementara menunggu ambulans datang dan gadis itu dibawa pulang ke rumah mereka yang berselang kira-kira tiga rumah dari kediaman saya," katanya.

Seorang anak lelaki mangsa yang enggan dikenali berkata, jenazah bapanya dihantar untuk bedah siasat di Melaka sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan lewat petang semalam.

Difahamkan, suspek dari Kampung Sawah Ring, tinggal bersama kakak dan abang iparnya yang masing-masing bertugas sebagai guru, sebelum itu dikatakan cuba menceroboh dua lagi rumah jiran di kawasan itu tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata suspek berusia 22 tahun sudah ditahan polis yang dikejarkan ke kampung terbabit sejurus mendapat maklumat kejadian itu.

"Suspek didakwa mengalami kemurungan sejak empat tahun lalu selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak pernah dibawa mendapatkan rawatan pakar di hospital berhubung masalah itu," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 30 MEI 2012

ELDERLY MAN KILLED AND HIS WIFE INJURED BY MACHETE-WIELDING WOMAN

By HAMDAN RAJA ABDULLAH

TANGKAK: A senior citizen was killed and his wife injured when a woman, believed to be mentally disturbed, slashed them in Bukit Gambir here on Tuesday.

Mohd Reduan Haron, 73, from Kampung Kerinchi, was killed on the spot after he was slashed on the head, shoulder and had his finger severed in the 10.41am incident.

His wife, Juriah Dimiyati, 61, was slashed on her head and suffered injuries to her skull after the attacker, aged 22, assaulted them at their house Tuesday.

The young woman from Kampung Sawah Ring, first kicked the door and shouted that someone had intended to rape her.

She then grabbed two machetes and started attacking the old couple and Juriah shouted for her husband to grab the machetes.

However, Mohd Reduan failed to grab the machetes and was slashed several times on the head and shoulder before collapsing.

The attacker than slashed Juriah on the head three times before she crawled out of her house and asked for help.

“Some neighbours who heard my calls for help arrived and tried to calm the attacker,” Juriah said.

“My sister, who lives nearby also came and comforted me,” she said when met at the Sultanah Fatimah Specialist Hospital in Muar Tuesday.

Meanwhile, Ledang police chief Supt Harun Idris said police had detained the attacker who was believed to be suffering from some mental problems.

“We will investigate the incident and the motive behind the attack,” he added. 

SOURCE: THE STAR, MAY 30, 2012

1 MAUT 1 PARAH DITETAK GADIS

JURIAH Dimiyati @ Demyati yang cedera di tempurung kepala akibat ditetak oleh wanita dipercayai kurang siuman dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, semalam. - Utusan/Ishak Rahmad.
 
LEDANG 29 Mei - Agak jarang kita mendengar kejadian amuk yang melibatkan kaum wanita.
Namun, itulah yang berlaku di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini hari ini apabila pelaku kes amuk itu seorang wanita yang baru berusia 22 tahun dan dipercayai menghidap penyakit kemurungan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah selepas ditetak wanita terbabit dengan parang.

Kejadian amuk itu berlaku pukul 10.41 pagi dan menyebabkan Mohd. Revuan @ Reduan Haron, 73, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditetak di kepala, bahu selain putus jari kanan.

Isterinya, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, pula cedera parah selepas ditetak di kepala.

Kejadian bermula apabila suspek wanita yang berasal dari Kampung Sawah Ring datang dan menendang pintu rumah mangsa sambil menjerit mendakwa abang ipar mahu merogolnya.

Wanita itu yang baru datang ke kampung tersebut tiga hari lalu dan tinggal bersama kakaknya tiba-tiba mencapai dua bilah parang sebelum melibas ke kiri dan kanan sambil menjerit.

Melihatkan keadaan itu, Juriah segera meminta suaminya merampas parang tersebut tetapi tidak berjaya. Mangsa kemudian ditetak di bahu sebelum rebah dan ditetak bertubi-tubi.

Selepas itu, wanita tersebut menyerang Juriah pula dengan menetaknya di kepala tiga kali menyebabkan mangsa merangkak keluar rumah.

Juriah berkata, jiran datang membantu menyelamatkannya setelah terdengar jeritan manakala kakak wanita itu yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka datang menenangkan adiknya.

"Ketika kejadian saya sedang masak nasi. Sebelum itu, saya dan suami terdengar wanita itu menjerit-jerit di rumah kakaknya.

"Selepas ditetak, suami saya masih bernyawa dan jiran menghubungi ambulans," kata Juriah ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar hari ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2012

80 PERMOHONAN BANTUAN AKAN DISELESAI

GOH Tee Tee (tengah) diiringi Nurhayati Abd. Kadir (kiri) menyampaikan bantuan kepada Ramlah Hashim di Pejabat JKM Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 29 Mei - Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang akan menyelesaikan 80 lebihan permohonan bantuan kewangan sekitar daerah ini sebelum hujung tahun ini.

Pegawainya, Nurhayati Abd. Kadir berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada bilangan permohonan yang terlepas pandang sebelum ini dan ia memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat dan pemimpin setempat untuk mengenal pasti individu berkelayakan supaya proses permohonan berjalan lancar.

"JKM Ledang proaktif dalam menangani masalah ini dan sehingga kini kita berjaya menyelesaikan 700 pemohonan tertunggak," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bayaran Kewangan JKM kepada 20 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, di sini baru-baru ini.

Bayaran tersebut disampaikan oleh ADUN Tangkak, Goh Tee Tee. 

Dalam perkembangan lain, Nurhayati berkata, setakat ini seramai 3,572 penerima dari seluruh daerah Ledang menerima enam jenis bantuan yang diberikan JKM.

Sementara itu, Tee Tee meminta masyarakat di sini mengubah persepsi bahawa apabila seseorang mencapai usia warga emas, mereka mesti dapat bantuan kewangan JKM kerana ia menimbulkan rasa tidak puas hati apabila permohonan ditolak.

"JKM terlebih dahulu akan membuat siasatan awal mengenai latar belakang pemohon kerana terdapat mereka yang mempunyai pendapatan daripada hasil kebun. Setelah pasti pemohon berkenaan tidak mempunyai pendapatan, JKM dengan segera meluluskan permohonan. 

"Saya mahu pemohon bersikap jujur semasa mengemukakan permohonan supaya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan JKM," katanya lagi.

Penerima bantuan, Ramlah Hashim, 70, terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan warga emas sebanyak RM300 sebulan berjalan lancar dan tidak perlu menunggu lama.

"Wang ini akan digunakan untuk menyara perbelanjaan bulanan kerana saya tidak mempunyai pendapatan. Kini, saya menumpang di rumah anak perempuan di Taman Tangkak Jaya dengan sewaan bulanan RM 250 sebulan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2012

29 Mei 2012

MB YAKIN KEUPAYAAN POLIS

Wartawan Sinar Harian

MB yakin keupayaan polis
Abdul Ghani (empat,kiri) selepas merasmikan Program Desa Selamat anjuran
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Dewan Jubli Intan Tangkak semalam.
 
LEDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yakin dengan keupayaan dan usaha yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dapat menurunkan kadar jenayah negeri ini.

Menurutnya, sehingga kini, kadar jenayah jalanan di negeri ini menurun kepada paras 44 peratus , manakala indeks jenayah turun pada paras 11 peratus.

“Kejayaan ini membantu meletakkan negara pada paras ke-18 negara terselamat diduduki di dunia menerusi penilaian antarabangsa.

“Saya juga tidak mahu lagi negeri ini dianggap tidak selamat seperti yang didakwa oleh pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Desa Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Abdul Ghani berkata, 70 peratus daripada jenayah indeks di Johor disumbangkan di lokasi panas dalam Iskandar Malaysia membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulaijaya.

Bagaimanapun, dalam senario tersebut kerajaan tetap prihatin dengan memberikan tumpuan ke daerah di luar wilayah berkenaan.

“Langkah ini bertujuan menurunkan jenayah indeks ke tahap lebih rendah dan menjadikan Johor lebih selamat,” katanya.

Tambah beliau, Program Desa Selamat memberi tumpuan di kawasan kampung dan luar bandar untuk merapatkan hubungan antara pihak berkuasa dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan jenayah menerusi kawalan sosial yang sememangnya wujud di luar bandar berbanding di bandar.

SUMBER: SINAR HARIAN, 27 MEI 2012

28 Mei 2012

MAKMAL KOMPUTER SK SEROM 3 PERLU DANA RM100,000

LEDANG 27 Mei - Makmal Komputer Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 3, dekat sini, memerlukan RM100,000 untuk menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi kegunaan 560 muridnya yang rata-rata daripada keluarga berpendapatan rendah.

Guru Besarnya, Shamsudin Sarip berkata, sekolah sudah mempunyai makmal komputer tetapi kemudahan sedia ada sudah rosak dan uzur dengan pihak pengurusan tidak mempunyai peruntukan bagi penyediaan kemudahan baru.

"Kemudahan ICT itu dilihat dapat membantu pencapaian akademiknya ke tahap lebih cemerlang kerana sebelum ini SK Serom 3 menunjukkan prestasi yang baik terutama dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. 

"Selain itu ia juga diharap dapat merapatkan jurang digital antara sekolah ini dan dengan sekolah di bandar yang mungkin jauh lebih baik kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan 100 tahun SK Serom 3, dekat sini kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman merasmikan sambutan tersebut selepas itu turut merasmikan dewan serta gelanggang futsal sekolah tersebut dengan kos RM150,000.

Sambutan 100 tahun SK Serom 3 selama tiga hari bermula semalam adalah untuk mengenang kembali sejarah dan sumbangannya selain salah satu langkah untuk mengumpul dana bagi melengkapkan makmal komputer tersebut.

Menariknya, perasmian sambutan oleh Abdul Ghani adalah amat simbolik kerana tapak SK Serom 3 telah dihadiahkan oleh moyangnya, Abdullah Samsu yang merupakan Penghulu Mukim Serom pada tahun 1912.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, sekolah tersebut adalah yang tertua di daerah ini dengan bangunan asal hanya menggunakan binaan papan dan kayu.

"Hampir lima generasi di mukim Serom mendapat pendidikan awal di sekolah ini yang menempatkan satu blok kayu sebelum ditambah bangunan baru pada 1926 dan naik taraf berterusan pada 1955, 1974, 1982, 1994 dan 1996," katanya lagi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 MEI 2012

UBAH PERSEPSI JOHOR TIDAK SELAMAT

ABDUL Ghani Othman menyampaikan Anugerah SRS Terbaik Negeri Johor kepada Jamel Ahmad yang mewakili SRS Kawasan Rukun Tetangga Kampung Dato' Abd. Rahman Yassin, Kluang pada Program Desa Selamat di Dataran Ledang, Tangkak, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 27 Mei - Dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Johor tidak selamat perlu diubah berdasarkan indeks jenayah di negeri ini telah menurun 40 peratus sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, dakwaan seumpama itu amat membimbangkan kerana ia juga meninggalkan kesan negatif kepada industri pelancongan.

"Saya percaya usaha yang dibuat kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan akan berupaya mengurangkan lagi kadar jenayah selain kawalan sosial yang dilakukan pelbagai lapisan masyarakat itu sendiri. Menerusi penilaian antarabangsa, kita (Malaysia) adalah antara 18 negara paling selamat di dunia dan saya tidak mahu Johor dirujuk sebagai tempat penuh dengan jenayah.

"Walaupun 70 peratus jenayah indeks di Johor disumbangkan di kawasan panas dalam Iskandar Malaysia membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulaijaya, kerajaan tetap prihatin dengan memberikan tumpuan ke daerah di luar wilayah ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Desa Selamat di Dataran Ledang, Tangkak, dekat sini semalam.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Sementara itu Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk mengurangkan kadar jenayah di negeri ini bagi melenyapkan terus persepsi berkenaan.

Jelasnya, antara program diatur ialah pihak polis akan terbabit secara terus dengan masyarakat bagi mendapatkan maklumat seterusnya menghindari wujudnya kegiatan jenayah.

Dalam pada itu, Lam Thye menyeru masyarakat desa supaya menjadi ahli MCPF sebagai 'mata dan telinga' pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.

"Walaupun banyak pencapaian dalam mengurangkan jenayah, cabaran yang paling besar terpaksa dihadapi polis ialah cara meyakinkan orang ramai untuk menerima kadar penurunan jenayah dan mengatasi rasa takut terhadap jenayah," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 MEI 2012

27 Mei 2012

TUDUHAN JENAYAH TINGGI TAK BERASAS

LEDANG: Tanggapan Johor mempunyai tahap jenayah tinggi tidak berasas berikutan aspek keselamatan dan indeks jenayah di seluruh negeri berkurangan sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata tanggapan berkaitan jenayah di Johor yang ditimbulkan pihak tertentu amat menakutkan ketika usaha dilakukan kerajaan negeri bagi mengurangkannya.

Beliau berkata, pihaknya percaya usaha yang dibuat untuk meningkatkan tahap keselamatan berupaya mengurangkan jenayah berkenaan, selain kawalan sosial dilakukan pelbagai lapisan masyarakat itu sendiri.

"Berdasarkan penilaian antarabangsa, kita (Malaysia) antara 18 negara paling selamat di dunia dan saya tidak mahu Johor dirujuk tempat penuh jenayah," katanya selepas merasmikan Program Desa Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi Kebangsaan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye serta Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Abdul Ghani berkata, penurunan jenayah di negeri ini berlaku secara berterusan sejak empat tahun lalu dan bagi memperkukuhkan usaha berkenaan, kerajaan melaksanakan Program Bandar Selamat yang menepati cita rasa masyarakat yang mahu mendiami kawasan selamat dan selesa.

Katanya, walaupun 70 peratus jenayah indeks di Johor membabitkan Johor Bahru dan Kulaijaya, kerajaan tetap prihatin dengan memberikan tumpuan ke daerah luar wilayah berkenaan.

SUMBER: BERITA MINGGU, 27 MEI 2012

26 Mei 2012

RM21 JUTA BR1M DIAGIH KEPADA 42,000 PENERIMA DI MUAR, LEDANG

SEGAMAT 25 Mei - Kira-kira RM21 juta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diagih-agihkan kepada kira-kira 42,000 penerima di daerah Muar dan Ledang.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, kira-kira RM11 juta diagihkan kepada 22,000 penerima BR1M di daerah itu meliputi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. 

“Kita yakin tidak ada rakyat yang tercicir daripada mendapat BR1M. Kerajaan bagi kepada semua tidak kiralah orang itu ahli parti politik ke atau tidak ada parti politik.

“Ini adalah wang rakyat, diberi semula kepada rakyat," katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat, dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa BR1M adalah gula-gula yang diberikan kerajaan untuk memancing undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri pula memberitahu, sebanyak RM10 juta diagih-agihkan kepada kira-kira 20,000 penerima BR1M di daerah berkenaan.

Hamim berkata, pengagihan tersebut dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini melibatkan lebih lima fasa.

Beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pengagihan wang tersebut terutamanya Pejabat Daerah Ledang, polis, Maybank cawangan Ledang dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). 

“Sesungguhnya usaha mereka amat cemerlang kerana telah berjaya mengurus tugasan tersebut tanpa banyak kerenah dan tidak banyak aduan. Mereka semua sanggup bertugas semasa cuti hujung minggu dan berpanas dalam tempoh itu," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2012

24 Mei 2012

KERJASAMA BERSIH KUBUR

LEDANG: Lebih 150 penduduk serta 60 anggota Briged Waqaf Johor Corporation (JCorp) bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Serom 8 dan Surau Omar Hassan di Kampung Serom 8, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi jawatankuasa kampung itu, Ithnin Kassim berkata, program berkenaan anjuran bersama JCorp dan Pejabat Agama Daerah Ledang.

"Tanah perkuburan seluas empat hektar ini tempat persemadian jenazah penduduk Kampung Serom 5, 6 dan 8 serta Seri Jaya, Parit Pulai, Parit Bunga Raya Hujung juga Simpang 5 Darat.

"Peserta menyertai majlis tahlil sebelum bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kubur selain mengecat batu nesan," katanya.

Program dirasmikan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan dihadiri Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin; Pengurus Besar Jabatan Khidmat Hartanah JCorp, Shamsudin Md Yunos; Pengerusi Sahabat Dakwah Daerah Ledang, Ab Majid Mistam dan Ketua Kampung Serom 8, Amjah Marzuki.

Selain membersihkan tanah perkuburan, anggota Briged Waqaf JCorp turut membantu membersih dan mengecat Surau Omar Hassan selain membersihkan kawasan persekitaran kampung berkenaan.

SUMBER: HARIAN METRO, 24 MEI 2012

23 Mei 2012

SEKITAR PROGRAM DI LEDANG PADA 26 MEI 2012


Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan merasmikan Program Desa Selamat Anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Pengerusi MCPF dan Ketua Polis Johor turut hadir di majlis ini yang akan di  adakan di Dataran Ledang  pada 26 Mei 2012 jam 10.00 malam.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di talian 06-9781222.

SEKITAR PROGRAM DI LEDANG PADA 25 MEI 2012


Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan menghadiri dan merasmikan Majlis Perasmian Program Khidmat Komuniti Ledang 2012 anjuran Pejabat Penerangan Ledang  Melalui Komuniti 1Malaysia Lerek Anjung Makmur bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ahli Parlimen Ledang di Dewan Serbaguna Kampung Solok  pada 25 Mei 2012 jam 10.00 pagi.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Pejabat Penerangan Daerah Ledang  di talian 06-9781033.


Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Serom 3 ini di  Sekolah Kebangsaan Serom 3, Ledang  pada 25 Mei 2012 jam 3.00 petang.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Sekolah Kebangsaan Serom 3  di talian 06-9751166.

Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, akan menghadiri dan merasmikan Majlis Sukaneka 1Malaysia Sempena Hari Ibu Kelab Wanita Ledang, majlis ini turut dihadiri oleh Yang Amat Dihormati Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Binti Ariffin, Isteri Menteri Besar Johor di  Dataran Ledang  pada 25 Mei 2012 jam 8.00 malam.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Kelab Wanita Ledang di talian 019-6839739.

1,711 DAPAT DURIAN RUNTUH

Tahir Mohd. Taat (kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil Felda Maokil 1 pada Majlis Perasmian Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad di Felda Seri Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 22 Mei - Seramai 1,711 peneroka di Parlimen Pagoh dan Ledang menerima durian runtuh berjumlah RM25.8 juta pada Majlis Perasmian Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Dewan Terbuka Felda Seri Ledang dekat sini baru-baru ini.

Habuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd. Taat yang disaksikan Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat, Kasimon Salleh.

Durian runtuh berjumlah RM25.8 juta itu melibatkan 349 peneroka Felda Moakil 1, Felda Moakil 2 (372), Felda Bukit Serampang (400), Felda Seri Ledang (316 ), Felda Lenga (220) dan Felda Parit Haji Idris (54).

Kasimon melahirkan harapan agar peneroka tidak menjual saham yang diberikan bersama insentif itu kerana Felda memberi keuntungan setiap tahun selain meminta mereka tidak terpedaya dengan khabar angin mengatakan peneroka akan kehilangan kebun dan geran dengan penyenaraian FGVH.

"Maklumat ini tidak benar kerana ia helah pihak tertentu dalam usaha mengurangkan keyakinan peneroka kepada kerajaan khususnya Felda," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mei lalu mengumumkan mengenai durian runtuh RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka termasuk saham berikutan penyenaraian FGVHB.

Najib berkata, pemberian itu melibatkan tiga fasa iaitu setiap ketua keluarga akan menerima RM5,000 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM563.715 juta, jumlah sama akan diagihkan kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut dan fasa ketiga melibatkan generasi kedua Felda.

Sementara itu, Tahir turut mengingatkan peneroka supaya menggunakan wang tersebut secara berhemat untuk kegunaan keluarga masing-masing kerana pemberian insentif merupakan hadiah kerajaan kepada peneroka Felda supaya mereka boleh menikmati kehidupan lebih selesa.

"Oleh itu, peneroka seharusnya memberikan sokongan penuh kepada kerajaan untuk terus mentadbir negara pada masa akan datang," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MEI 2012

18 Mei 2012

IBU TUNGGAL SAKIT BUAH PINGGANG TERIMA RM34,800

TUNKU Temenggong Johor, Tunku Idris Ibrahim berkenan menyampaikan bantuan kepada Siti Rodziah Amin sempena Kembara Mahkota Johor 2012 di Kampung Kesang Tasek, Ledang, Johor, baru-baru ini.
 
LEDANG 17 Mei - Seorang ibu tunggal yang miskin dan menghidap penyakit buah pinggang dan tidak mampu menanggung kos rawatan setiap bulan kini mampu menarik nafas lega apabila mendapat sumbangan RM34,800 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Siti Rodziah Amin, 42, menerima sumbangan tersebut sempena jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 yang diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang singgah di Kampung Kesang Tasek di sini kelmarin.

Ibu kepada enam anak itu sebelum ini amat terbeban apabila terpaksa menyediakan RM180 setiap kali menjalani rawatan dialisis iaitu tiga kali seminggu.

"Saya terpaksa menggunakan sebahagian wang bantuan sara hidup pemberian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM450 dan Baitulmal RM400 sebulan untuk rawatan dialisis.

"Kadang-kadang saya terpaksa berhutang dengan pusat hemodialisis kerana tidak cukup wang. Wang sumbangan MAINJ akan digunakan untuk membiayai kos rawatan penyakit buah pinggang saya selama setahun," katanya yang bersyukur dan terharu dengan bantuan tersebut.

Dia yang bergantung hidup dengan wang bantuan JKM dan Baitulmal tidak mempunyai pendapatan atau rumah sendiri dan tinggal di Taman Serom Utama dengan sewa RM250 sebulan.

Bagaimanapun Siti Rodziah yang disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu mengakui, ahli keluarganya banyak membantu menghulurkan wang bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Dia berharap dapat sembuh secepat mungkin untuk memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anak yang tinggal bersamanya selepas dia bercerai tiga tahun lalu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2012

17 Mei 2012

KATIL GANTI TILAM NIPIS


Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Kehidupan harian sepasang suami isteri warga emas di Kampung Anjung Batu, Tangkak di sini, kini lebih selesa apabila mereka mampu tidur di atas katil selain diberikan bantuan kerusi roda, baru-baru ini.

Sebelum ini, Samat Marhaban, 82 dan isteri, Tah Atan, 68, hanya tidur beralaskan tikar dan tilam nipis di atas lantai dan pada masa sama, pergerakan Tah terbatas akibat sakit kaki dialaminya.

Penyelia Perhubungan Parlimen Kemas Ledang, Norhiah Mohd Said berkata, keadaan sekeliling rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) didiami pasangan itu sejak 2000 pula dipenuhi barangan lusuh dan terpakai yang dikutip menjadikannya semak serta tidak terurus.

"Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat Daerah Ledang, Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Ledang serta Kelab Sepak Takraw Seri Tanjung, Tangkak yang simpati dengan keadaan warga emas berkenaan tampil membersihkan kediaman terbabit.

"Selain membersih, kami turut membasuh bahagian dalam rumah serta mengecatnya," katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid dan Ketua Umno Cawangan Anjung Batu, Abu Othman.

Sementara itu, Hamim berkata, pihaknya turut menyumbangkan sebuah kerusi roda serta membaik pulih pendawaian elektrik rumah berkenaan.

"Bagi memberi keselesaan kepada pasangan ini, Goh turut menyumbangkan katil, tilam, tikar getah dan perabot untuk kegunaan mereka.

"Pada masa sama, pasangan ini turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak lima tahun lalu," katanya.

Hamim berharap, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di daerah berkenaan sedia tampil membantu sekiranya terdapat warga emas atau golongan kurang berkemampuan.

SUMBER: HARIAN METRO, 17 MEI 2012

16 Mei 2012

PENDUDUK GEMBIRA KUNJUNGAN KMJ 2012 KE KESANG TASEK

 Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersalaman dengan rakyat jelata sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 singgah di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang.


 Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersalaman dengan penerima bantuan basikal sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 singgah di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang. Foto Oleh: Hai Rozzaman Jalal  


LEDANG: Penduduk Kampung Kesang Tasek dekat Sungai Mati, di sini begitu gembira apabila kampung mereka dikunjungi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada hari ketiga Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012, kelmarin.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengungkapkan perasaan gembira dan bersyukur apabila dapat bertemu dengan baginda yang berjiwa rakyat lebih-lebih lagi buat kali pertama KMJ singgah di kampung itu.


Asmah Abd Ghani
Warga tua, Asmah Abd Ghani, 75, berkata sejak menetap di kampung itu, ini baru kali pertama dia dapat melihat Sultan Johor bertemu penduduk kampung sambil beramah mesra.

“Walaupun tidak dapat bersalam dengan baginda namun tetap gembira kampung kelahiran saya dikunjungi rombongan KMJ.

“Kami cukup bertuah dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni di samping kemajuan serta pembangunan yang terdapat di kampung ini untuk kemudahan penduduk,” katanya ketika ditemui semasa menyambut rombongan KMJ di Kompleks Sukan Tok Laji, di kampung itu.

Rakannya, Fatimah Yong, 64, turut bersyukur apabila dapat menatap wajah baginda walaupun dari jauh dan merasai kemeriahan program yang diatur.
Fatimah Yong

Katanya, banyak acara yang disediakan untuk penduduk sempena KMJ dan beliau menyertai pertandingan memarut kelapa secara tradisional.

“Dalam pertandingan ini, saya gunakan kukur kelapa berusia 30 tahun milik sendiri walaupun  mendapat tempat ketiga, saya masih bersyukur dapat menyertai program amat bermakna ini.

“Suasana harmoni seperti ini perlu dikekalkan dan jangan sesekali kita memilih kerajaan selain daripada kepimpinan yang ada sekarang agar kehidupan anak cucu kita lebih terjamin,” katanya.

Azfar Idrus

Pemimpin belia, Azfar Idrus, 24, berkata golongan muda dapat peluang mengenali baginda dengan lebih dekat dan menyertai beberapa acara yang melibatkan belia dalam program KMJ tersebut.

Katanya, golongan belia di kampungnya turut bekerjasama menyertai gotong-royong membuat persiapan program itu dan ia menunjukkan semangat bersatu padu di kalangan penduduk masih kukuh.

Othman Hamdan
Pesawah padi, Othman Hamdan, 45, turut gembira apabila baginda sanggup mencemar duli melihat sawah yang diusahakan oleh peserta Perladangan Berkelompok Sawah Kesang Tasek.

Katanya, sawah yang diusahakannya seluas 0.80 hektar turut menjadi plot contoh oleh Jabatan Pertanian Daerah Ledang sempena kunjungan baginda dan rombongan KMJ ke kampung itu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin, berkata KMJ sememangnya dinantikan seluruh rakyat daerah ini di mana ia melambangkan betapa kasihnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim terhadap rakyat jelata.

Katanya, program ini bakal menjadi kenangan dan terukir dalam lipatan sejarah selain tidak akan dilupakan oleh rakyat terutama penduduk di kampung yang disinggahi KMJ.

“Program KMJ ini juga dapat mengukuhkan perpaduan 131,890 penduduk berbilang kaum di Ledang hidup harmoni di samping mengeratkan hubungan antara istana, kerajaan dan rakyat.

“Baginda turut mengurniakan bantuan kepada 149 penerima terdiri daripada warga tua, golongan miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak Orang Asli,” katanya ketika berucap menjunjung kasih pada program KMJ di Kampung Kesang Tasek.


PERENCAH MI BANDUNG DALAM PEK


LEDANG: Keenakan mi bandung Muar mendorong Mohamad Zain Solihin, 47, menghasilkan perencah segera dalam bentuk pek secara komersial.

Pengalaman diperoleh ketika berniaga kecil-kecilan selepas tamat persekolahan menimbulkan minat Mohamad Zain untuk memiliki perniagaan dengan produk jenama sendiri.

Bermodalkan RM6,000, Zain yang juga anak jati Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir memulakan perniagaan memproses perencah mi bandung, mi rebus dan soto sejak 2004.

"Saya memulakan perniagaan ini dengan isteri, Siti Zubaidah Mohamad yang berumur 45 tahun. Dengan menggunakan jenama Demuara, kami dibantu sembilan kakitangan untuk menjayakannya.

"Saya menggunakan resipi sendiri untuk menghasilkan semua perencah berkenaan dan syukur, ia mendapat sambutan menggalakkan," katanya ketika ditemui di kilang Demuara Enterprise di Jalan Raja, Parit Jarum Tengah semalam.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selain membeli sendiri peralatan memproses perencah, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut menyalurkan bantuan mesin di bawah program industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, ketiga-tiga perencah Demuara itu bukan setakat dipasarkan di kedai runcit dan pasar raya di sekitar daerah berkenaan malah turut diedarkan ke seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.

"Hampir 20 tan perencah Demuara dihasilkan sepanjang 2011 dan kami merancang menambah pengeluaran sehingga tiga tan pada setiap bulan pada masa depan.

"Pada masa sama, kami juga bersyukur kerana berjaya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui perniagaan ini," katanya yang turut mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Daerah Ledang.

Menurut Zain, selain memasarkan perencah Demuara ke kedai runcit atau pasar raya, pihaknya turut menerima pesanan secara atas talian dan penghantaran dilakukan menggunakan kurier ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 MEI 2012

14 Mei 2012

COPS ARREST 4 IN GAMBLING RAIDS

 
cops arrest 4 in gambling raids
Superintendent Harun Idris with the machines seized in the raids. Pic by Azidan Nahar
 LEDANG: A collaboration between  Ledang district police and the Tangkak District Council (MDT)  led to the the arrests of four people and the seizure of 170 gambling machines worth RM350,000 in Ledang recently.

 This was following a series of raids on five gambling premises in the district. 

 Initial investigations showed that the premises were operating without licences   since late last year.

 Ledang police chief Superintendent Harun Idris said the authorities acted  following complaints from the public and also surveillance by the police.

 He said the first raid was conducted on a premises in Jalan Suria 2 on April 30 where 48 machines were seized and a  suspect  detained.

 This was followed by a raid at another premise in Jalan Paya Mas, where 23 central processing units, 23 video consoles and 21 monitors were seized and one suspect arrested.

 "Following further investigations, we raided a cyber cafe in Jalan Muar the next day.

 "On May 2, we raided two more premises in Taman Paya Mas and Serom Utama near Sungai Mati," said Harun, adding that two more suspects were arrested and more machines were seized at these premises.

 He said the police believed that these premises were offering gambling activities, and that  the computers can be used as  gambling machines using a special chip.

 "Checks showed that the premises were operating without licenses," Harun said.

SOURCE: NST JOHOR STREETS, MAY 14, 2012

11 Mei 2012

LEBIH 170 KOMPUTER JUDI DIRAMPAS

HARON Idris menunjukkan sebahagian daripada komputer yang dirampas dalam beberapa serbuan ke atas kafe siber yang beroperasi tanpa lesen sekitar Ledang, di Johor, semalam.

LEDANG 10 Mei - Lebih 170 unit komputer bernilai kira-kira RM350,000 yang digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas dari lima premis di daerah ini dalam operasi selama tiga hari yang berakhir 2 Mei lalu.

Operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang serta Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu juga mendapati kesemua lima kafe siber tersebut beroperasi tanpa lesen dan menawarkan kegiatan perjudian kepada pengunjung termasuk pelajar.

Pemilik premis disyaki menggunakan cip khas bagi menukar permainan video kepada permainan berbentuk perjudian untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Haron Idris berkata, serbuan pertama dilakukan pukul 9.15 malam di sebuah premis dan merampas 48 unit komputer dan menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Suria 2 pada 30 April lalu.

"Dalam serbuan kedua pukul 11.15 malam di Jalan Paya Mas, polis merampas 23 unit pemprosesan pusat (CPU), 23 konsol permainan video serta 21 monitor komputer dan menahan seorang penjaga premis berusia 25 tahun untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian meneruskan operasi pada 1 Mei lalu dengan melakukan pemeriksaan kira-kira pukul 8 malam di sebuah kafe siber di Jalan Muar.

Ia diikuti dua lagi premis pada 2 Mei lalu, masing-masing di Taman Paya Mas dan Taman Serom Utama dekat Sungai Mati dan merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian selain dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

"Kita percaya semua premis ini menawarkan kegiatan perjudian kepada pelanggan dan komputer yang digunakan boleh ditukar untuk menjadikannya mesin judi dengan menggunakan cip khas. Mereka juga beroperasi tanpa lesen," katanya.

Beliau percaya premis-premis tersebut beroperasi sejak hujung tahun lalu dengan menawarkan kegiatan perjudian tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MEI 2012

10 Mei 2012

DUA PELATIH PUSPEN DISYAKI EDAR DADAH


MUAR: Dua pelatih Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) Sengkang, Bukit Gambir ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai terbabit mengedar dadah kepada rakan pelatih lain di pusat berkenaan sejak setahun lalu.

Dua pelatih terbabit yang masih menjalani proses pemulihan dipercayai mendapatkan bahan terlarang itu daripada kenalan mereka di luar sebelum diseludup masuk untuk diedar dalam pusat berkenaan.

Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Putrajaya dan diketuai Pengarah AADK Johor, Sedek Jaaffar dengan bantuan polis menyerbu pusat berkenaan jam 9 pagi semalam.

Sumber AADK berkata, serbuan selama tiga jam sehingga jam 12 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan dilakukan pihaknya bagi membongkar kegiatan haram di pusat pemulihan itu.

Menurutnya, AADK menghantar beberapa individu untuk menginap di pusat pemulihan itu sebelum mereka mengesahkan kegiatan berkenaan benar-benar berlaku.

Katanya, hasil risikan, pegawai AADK mendapati terdapat pelatih yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan selepas perbincangan, pihaknya bersepakat untuk membuat serbuan.

"Hasil serbuan itu, kami menemui pelbagai barangan tidak sepatutnya berada di pusat pemulihan seperti pemetik api, picagari, peralatan menghisap ganja, jarum, tiup menghisap dadah jenis heroin, senjata berbahaya, arak, majalah serta video cakera padat (VCD) lucah.

"Semua barangan itu dirampas bagi membantu siasatan, selain menahan dua pelatih terbabit bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, lebih memeranjatkan apabila hasil pemeriksaan mendapati lebih 50 peratus daripada keseluruhan pelatih pusat itu didapati masih positif dadah walaupun sudah menjalani program pemutihan lebih setahun lalu.

"Penemuan pelbagai barangan terlarang itu membuktikan pusat berkenaan melakukan kesalahan terutama memberi peluang kepada pelatih mengulangi kesalahan.

"Kami akan terus menjalankan risikan dan siasatan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 MEI 2012

09 Mei 2012

RM15,000 SETIAP KELUARGA

Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor memegang replika cek RM1.6 bilion bersama ketua-ketua peneroka Felda pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka Lapan, Jerantut, Pahang, semalam. Turut hadir Adnan Yaakob, Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Maslan dan Isa Samad. - BERNAMA
 
JERANTUT 8 Mei - Kira-kira 112,000 warga peneroka Felda hari ini mendapat khabar gembira yang membolehkan mereka tersenyum lebar apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian 'durian runtuh' sebanyak RM15,000 untuk setiap keluarga melibatkan jumlah keseluruhan RM1.689 bilion.

Perdana Menteri berkata, pemberian durian runtuh itu melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama, setiap ketua keluarga akan menerima RM5,000 seorang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM563.715 juta.

Untuk pemberian fasa kedua, katanya, sebanyak RM5,000 lagi akan diagihkan kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan yang diberikan oleh golongan tersebut.

Bagi fasa ketiga pula, menurutnya, sebanyak RM5,000 lagi akan diberikan kepada generasi kedua Felda bagi membolehkan bukan sahaja suami malah isteri dan anak warga peneroka juga menerima durian runtuh tersebut.

"Durian runtuh ini adalah lebih hebat daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ini bukan BR1M tetapi 'broomm' macam bunyi seperti kereta 'broomm.'

"Bukan sahaja generasi pertama Felda dapat, isteri juga dapat dan anak-anak mereka juga dapat," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka sempena Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Najib berkata, durian runtuh itu tidak berakhir begitu sahaja kerana ada pula 'durian gugur' iaitu tabung amanah, 'blue form' atau borang biru untuk saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) kepada warga peneroka dan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membaik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Beliau berkata, untuk tabung amanah, sebanyak 20 peratus saham FGVH akan dimasukkan ke dalam tabung milik warga peneroka tersebut.

"Kalau FGVH dapat untung RM1.5 bilion seperti mana kita jangka tahun ini, tahun depan tolak cukai dan sebagainya maka setiap warga peneroka akan menerima RM1,331 sebagai tambahan kepada durian runtuh," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kakitangan Felda juga tidak dilupakan apabila mereka akan diberikan 'pink form' atau borang merah jambu saham serta mendapat bonus khas petugas Felda sebanyak dua bulan setengah.

"Durian runtuh dan durian gugur ini sebenarnya begitu luas pengertiannya, bukan sahaja peneroka, isteri, anak peneroka dan petugas Felda mendapat faedah malah kampung-kampung lama dan tradisional juga dapat.

"Inilah kejayaan kita (kerajaan) menguruskan Felda dan negara dan buktinya durian runtuh dan durian gugur ini dapat diberikan," katanya yang selepas itu mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai yang hadir pada program tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Perdana Menteri berkata, pemberian fasa pertama durian runtuh itu akan diberikan bermula hari ini dan dijangka selesai dalam masa dua ke tiga minggu.

"Fasa kedua akan saya umumkan selepas pemberian fasa pertama selesai dan fasa ketiga akan diberikan selepas penyenaraian FGVH. Ia akan disampaikan oleh jentera Felda dan wakil-wakil rakyat di setiap kawasan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 MEI 2012

08 Mei 2012

600 SERTAI KAYUH BASIKAL 1MALAYSIA

Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Seramai 600 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara menyertai Karnival Kayuhan 1Malaysia Johor sempena sambutan Hari Pekerja di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, baru-baru ini.

Karnival anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir itu bertujuan menghargai sambutan Hari Pekerja, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, semua peserta memulakan kayuhan dari Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir menuju Dataran Pulau Penarik, Sungai Mati.

"Pelepasan kali kedua menyaksikan peserta bermula dari Sungai Mati ke Tangkak yang dilepaskan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri.

"Mereka berehat di pekan Sagil sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Adun Bukit Serampang, Tahir Md Taat melakukan pelepasan terakhir iaitu peserta berkayuh semula ke Bukit Gambir.

"Semua peserta membuat kayuhan sejauh 50 kilometer dengan penuh bersemangat dan karnival diserikan dengan penyertaan bekas pelumba negara, M Kumaresan," katanya yang melakukan pelepasan di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Majlis penutupan karnival itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Asojan berkata, bagi merancakkan karnival itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk lumba basikal, pertunjukan basikal BMX, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke dan pameran beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, pertandingan lumba basikal diadakan di Jalan Gambir 6 dan 7, Bandar Baru Bukit Gambir yang berjaya menarik perhatian penduduk.

"Kami tidak sangka karnival ini menerima sambutan luar jangkaan termasuk peminat sukan berbasikal dari Selangor, Terengganu, Perak, Perlis dan Melaka.

"Menerusi karnival ini, kami yakin mampu menjalinkan persahabatan antara peserta negeri ini dan luar.

"Berikutan itu, kami berharap dapat mengadakan karnival sama pada masa akan datang," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 08 MEI 2012

06 Mei 2012

TELAN SEGALA CEMUHAN


Oleh Norainon Othman



PASANGAN bahagia ini senasib, dilahirkan sebagai insan kerdil. Namun siapa sangka, kuasa Tuhan menentukan mereka memperoleh anak normal sebagai pelengkap mahligai cinta.

Mohamad Hairul Izewan, 12, adalah anugerah istimewa Ilahi buat pasangan Azman Tain, 52, dan Imah Abdul Samad, 42, hasil perkahwinan yang dibina pada 1998.

Orang kelainan upaya (OKU) yang menghidap sakit injap jantung bocor seperti Imah dikatakan berisiko tinggi untuk hamil dan melahirkan anak. Kali pertama hamil, kandungannya yang berusia lima bulan terpaksa digugurkan kerana dikhuatiri mengancam nyawanya.

Kali kedua hamil, sekali lagi doktor menasihatkan dia menggugurkan kandungan, tetapi Imah nekad mahu meneruskan hasrat memiliki zuriat.

Berkat ketabahannya dan percaya kepada kekuasaan Ilahi, Izewan lahir dengan berat 1.98 kilogram melalui pembedahan. Penyakit dihidapinya menyebabkan Imah tidak boleh melakukan kerja berat, cepat letih dan selalu rasa hendak tidur.

Berasal dari Lenggong, Perak, Imah berkata, mereka sudah lali dengan kata-kata kurang manis yang keluar daripada mulut orang, tetapi terpaksa menguatkan hati dan menelan segala cemuhan.

Namun demi anak tunggalnya, Imah berusaha gigih membantu suami mengusahakan kedai jahit mereka di Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

"Orang kata kami dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi kenapa hendak kerja keras? Saya kerja keras kerana memikirkan masa depan anak. Kami mahu kehidupan anak kami terjamin," katanya.

Menurutnya, dia dan suami bersyukur kerana anaknya memahami keadaan mereka dan ringan tulang membantunya berniaga seperti mengangkat barang, air tin dan air batu.

"Alhamdulillah, Allah beri anugerah, anak saya kuat semangat. Sikapnya memberi kekuatan kepada saya. Disebabkan kekurangan diri, dulu saya pemalu, tetapi kini saya ketepikan rasa malu itu demi masa depan anak," katanya.

Banyak pengalaman berkaitan keadaan fizikalnya yang kerdil ditempuhi. Izewan turut berdepan cabaran sama hingga mematangkan dirinya. Walaupun masih kecil, anak tunggalnya turut mengangkatnya hingga ke kereta jika dia mengalami semput.

"Orang kata saya ambil anak angkat. Ada juga yang cakap 'laaa... kecil-kecil boleh kahwin?... macam mana keluarkan anak?' Pertanyaan menjengkelkan itu sering diulang-ulang hingga kadangkala membuatkan kesabaran tercabar.

"Sebelum berkahwin, ada yang berkata `siapa la nak bela hang?' Saya rasa tersisih mendengar perkataan sebegitu, tetapi terpaksa kuatkan hati dan reda dengan keadaan diri. Saya sentiasa memandang daripada sudut positif," katanya.

Ketika Izewan membantunya berniaga, ada pelanggan bertanya sama ada Izewan adalah anaknya. Pertanyaan itu timbul mungkin disebabkan mereka tidak percaya Imah mampu mengandung.

"Anak pernah mengadu kawannya bertanya sama ada dia tidak malu mempunyai ibu bapa kerdil. Anak bengang dengan pertanyaan rakannya tetapi menjelaskan dia boleh menerima kekurangan yang ada pada kami.

"Dalam menempuh bermacam pengalaman pahit, ada juga insiden lucu. Misalnya, ketika saya melintas jalan, ada orang tanya saya, `Anak siapa ni? Emak mana?' Saya terkejut lalu menjawab, saya datang dengan suami.

"Ketika melintas jalan dengan anak, ada juga orang yang berpesan kepada anak supaya memimpin saya, takut nanti jatuh. Kalau ke kawasan yang tidak biasa kami kunjungi, turun saja daripada kereta, semua orang bangun hendak tengok," katanya.

Kekuatan semangat Imah sedikit sebanyak dipengaruhi sikap positif ditunjukkan suaminya sebagai ketua keluarga. Kedua-duanya berpegang kepada prinsip `di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'.

Tergolong dalam kategori OKU tidak dijadikan alasan untuknya mengharapkan ihsan orang semata-mata tanpa perlu berusaha. Selagi ada kudrat dan kemampuan, hidup berdikari dan tidak menyusahkan orang lain menjadi pegangan Azman.

Itu kelebihan Azman yang mengalami terencat tumbesaran akibat diserang demam panas ketika usia enam bulan. Disebabkan keadaan itu, dia hanya memulakan persekolahan darjah satu pada usia lewat iaitu 11 tahun dan sempat bersekolah cuma dua tahun.

Sepanjang tempoh tidak bersekolah, anak kelahiran Bukit Gambir, Muar, Johor itu hanya terlantar di rumah kerana tidak mampu bergerak dan berjalan.

"Saya masuk darjah satu ketika usia 11 tahun dan ke sekolah dengan berkerusi roda. Daripada darjah satu, saya terus melompat ke darjah enam.

"Bagaimanapun, saya tidak meneruskan pengajian ke sekolah menengah kerana tiada siapa mahu menghantar disebabkan jaraknya jauh dari kampung.

"Saya fikir, jika terus tinggal di kampung, bagaimana saya hendak membina masa depan kerana peluang terhad. Berikutan itu, saya mengambil keputusan mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima tawaran mengikuti kursus menjahit pada 1984 selama tiga tahun di Pusat Pemulihan Orang Cacat di Cheras.

"Selain menjalani kursus menjahit, saya mengikuti latihan anggota untuk menguatkan otot. Banyak perubahan dapat saya lakukan sejak berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Daripada tidak boleh berjalan dengan terpaksa menggunakan bantuan tongkat, sampai saya boleh bergerak dan cari kerja," katanya.

Dia perlu kuat semangat dan maju ke depan untuk berjaya seperti orang lain. Tanpa mempedulikan kata orang yang kadangkala boleh melemahkan semangat, dia perlu cekap dan berusaha sendiri.

"OKU bukan tiket untuk memudahkan saya mendapatkan peluang dan kemudahan. Sebaliknya, seperti orang lain, saya bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

"Untuk mencari tapak perniagaan kedai jahit, saya perlu turun naik majlis perbandaran dan meronda mencari tapak kosong. Saya buat surat permohonan untuk menjalankan perniagaan serta mendapatkan sokongan.

Mujur juga saya tidak bersendirian kerana kami ada persatuan, Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) yang membantu ahlinya. Sebagai OKU, pergerakan kami tidak pantas macam orang normal, tetapi saya tidak fikir semua itu kerana bagi saya, hendak seribu daya. Akhirnya saya terjumpa lot kosong di medan selera Taman Samudera, Batu Caves yang boleh saya ubahsuai untuk dijadikan kedai jahit.

"Kita macam ini (OKU), makin tumpuan orang pada kita. Orang sakit hati, sihir. Kadangkala orang patahkan semangat kita. Orang cakap 'engkau kerja kuat buat apa? Bukan banyak mana pun nak makan'," katanya.

Kata-kata sinis seperti itu tidak melemahkan semangat Azman, sebaliknya dianggap pemangkin untuk memajukan diri dan keluarga.

Berbekalkan pengalaman sebagai tukang jahit lebih 25 tahun di dua kilang jahit, dia membuka kedai jahit dengan modal RM10,000 yang dikumpulkan hasil simpanan selama bekerja di situ.

Adat berniaga, bermacam kerenah pelanggan dihadapi. Apapun, baginya itu semua rencah dalam perniagaan dan dia melakukan sebaik mungkin memenuhi kepuasan pelanggan.

Tempahan pakaian semakin 'lebat' menjelang Aidilfitri. Tepat jam 8 pagi, dia memulakan tugas di kedai jahitnya menyiapkan tempahan pelanggan dan pekerjaan itu berlarutan sehingga 12 tengah malam.

Dia berjaya meningkatkan taraf kehidupannya. Jika ketika makan gaji dulu, jam 6.30 pagi Azman keluar rumah untuk menaiki bas ke tempat kerja, kini kehidupannya selesa dan lebih teratur sejak memiliki perniagaan sendiri.

Malah, mencari pasangan hidup juga dilakukannya tanpa bantuan orang lain, selain membeli kereta dan rumah hasil titik peluh sendiri. Sebelum memiliki kereta, Azman menggunakan motosikal roda tiga bagi memudahkan pergerakannya.

"Berniaga perlukan kenderaan. Apabila ada anak, saya ingin bertukar kepada kereta dan mengambil lesen. Pada mulanya saya rasa tidak yakin boleh memandu, malah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melihat saya juga tidak yakin saya mampu memandu.

"Belum cuba belum tahu. Saya kuatkan semangat dan belajar sendiri dengan kawan yang juga OKU dan berjaya memperoleh lesen," katanya.