PENGUNJUNG SETIA

27 Mei 2012

TUDUHAN JENAYAH TINGGI TAK BERASAS

LEDANG: Tanggapan Johor mempunyai tahap jenayah tinggi tidak berasas berikutan aspek keselamatan dan indeks jenayah di seluruh negeri berkurangan sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata tanggapan berkaitan jenayah di Johor yang ditimbulkan pihak tertentu amat menakutkan ketika usaha dilakukan kerajaan negeri bagi mengurangkannya.

Beliau berkata, pihaknya percaya usaha yang dibuat untuk meningkatkan tahap keselamatan berupaya mengurangkan jenayah berkenaan, selain kawalan sosial dilakukan pelbagai lapisan masyarakat itu sendiri.

"Berdasarkan penilaian antarabangsa, kita (Malaysia) antara 18 negara paling selamat di dunia dan saya tidak mahu Johor dirujuk tempat penuh jenayah," katanya selepas merasmikan Program Desa Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi Kebangsaan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye serta Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Abdul Ghani berkata, penurunan jenayah di negeri ini berlaku secara berterusan sejak empat tahun lalu dan bagi memperkukuhkan usaha berkenaan, kerajaan melaksanakan Program Bandar Selamat yang menepati cita rasa masyarakat yang mahu mendiami kawasan selamat dan selesa.

Katanya, walaupun 70 peratus jenayah indeks di Johor membabitkan Johor Bahru dan Kulaijaya, kerajaan tetap prihatin dengan memberikan tumpuan ke daerah luar wilayah berkenaan.

SUMBER: BERITA MINGGU, 27 MEI 2012

Tiada ulasan: