PENGUNJUNG SETIA

10 Mei 2012

DUA PELATIH PUSPEN DISYAKI EDAR DADAH


MUAR: Dua pelatih Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) Sengkang, Bukit Gambir ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai terbabit mengedar dadah kepada rakan pelatih lain di pusat berkenaan sejak setahun lalu.

Dua pelatih terbabit yang masih menjalani proses pemulihan dipercayai mendapatkan bahan terlarang itu daripada kenalan mereka di luar sebelum diseludup masuk untuk diedar dalam pusat berkenaan.

Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Putrajaya dan diketuai Pengarah AADK Johor, Sedek Jaaffar dengan bantuan polis menyerbu pusat berkenaan jam 9 pagi semalam.

Sumber AADK berkata, serbuan selama tiga jam sehingga jam 12 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan dilakukan pihaknya bagi membongkar kegiatan haram di pusat pemulihan itu.

Menurutnya, AADK menghantar beberapa individu untuk menginap di pusat pemulihan itu sebelum mereka mengesahkan kegiatan berkenaan benar-benar berlaku.

Katanya, hasil risikan, pegawai AADK mendapati terdapat pelatih yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan selepas perbincangan, pihaknya bersepakat untuk membuat serbuan.

"Hasil serbuan itu, kami menemui pelbagai barangan tidak sepatutnya berada di pusat pemulihan seperti pemetik api, picagari, peralatan menghisap ganja, jarum, tiup menghisap dadah jenis heroin, senjata berbahaya, arak, majalah serta video cakera padat (VCD) lucah.

"Semua barangan itu dirampas bagi membantu siasatan, selain menahan dua pelatih terbabit bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, lebih memeranjatkan apabila hasil pemeriksaan mendapati lebih 50 peratus daripada keseluruhan pelatih pusat itu didapati masih positif dadah walaupun sudah menjalani program pemutihan lebih setahun lalu.

"Penemuan pelbagai barangan terlarang itu membuktikan pusat berkenaan melakukan kesalahan terutama memberi peluang kepada pelatih mengulangi kesalahan.

"Kami akan terus menjalankan risikan dan siasatan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 MEI 2012

Tiada ulasan: