TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Mei 2012

1 MAUT 1 PARAH DITETAK GADIS

JURIAH Dimiyati @ Demyati yang cedera di tempurung kepala akibat ditetak oleh wanita dipercayai kurang siuman dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, semalam. - Utusan/Ishak Rahmad.
 
LEDANG 29 Mei - Agak jarang kita mendengar kejadian amuk yang melibatkan kaum wanita.
Namun, itulah yang berlaku di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini hari ini apabila pelaku kes amuk itu seorang wanita yang baru berusia 22 tahun dan dipercayai menghidap penyakit kemurungan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah selepas ditetak wanita terbabit dengan parang.

Kejadian amuk itu berlaku pukul 10.41 pagi dan menyebabkan Mohd. Revuan @ Reduan Haron, 73, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditetak di kepala, bahu selain putus jari kanan.

Isterinya, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, pula cedera parah selepas ditetak di kepala.

Kejadian bermula apabila suspek wanita yang berasal dari Kampung Sawah Ring datang dan menendang pintu rumah mangsa sambil menjerit mendakwa abang ipar mahu merogolnya.

Wanita itu yang baru datang ke kampung tersebut tiga hari lalu dan tinggal bersama kakaknya tiba-tiba mencapai dua bilah parang sebelum melibas ke kiri dan kanan sambil menjerit.

Melihatkan keadaan itu, Juriah segera meminta suaminya merampas parang tersebut tetapi tidak berjaya. Mangsa kemudian ditetak di bahu sebelum rebah dan ditetak bertubi-tubi.

Selepas itu, wanita tersebut menyerang Juriah pula dengan menetaknya di kepala tiga kali menyebabkan mangsa merangkak keluar rumah.

Juriah berkata, jiran datang membantu menyelamatkannya setelah terdengar jeritan manakala kakak wanita itu yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka datang menenangkan adiknya.

"Ketika kejadian saya sedang masak nasi. Sebelum itu, saya dan suami terdengar wanita itu menjerit-jerit di rumah kakaknya.

"Selepas ditetak, suami saya masih bernyawa dan jiran menghubungi ambulans," kata Juriah ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar hari ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2012

Tiada ulasan: