PENGUNJUNG SETIA

02 Mei 2012

KONGSI KEUNTUNGAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) Daerah Ledang menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan menyalurkan sumbangan kepada beberapa pihak yang memerlukan bantuan.

Pengerusinya, Zabridin Ahmad berkata, persatuan ditubuhkan pada 2008 itu kini disertai 113 ahli selaku badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang beridentitikan perniagaan.

Katanya, nikmat yang diperoleh ahli persatuan dapat dikongsi bersama melalui aktiviti kebajikan dengan membantu golongan yang memerlukan selain mengeluarkan zakat.

"Sejak penubuhan PKMMNJ di daerah ini, kami sentiasa peka dengan menjalinkan hubungan silaturahim bersama masyarakat sekeliling melalui program kebajikan yang dirancang sepanjang tahun.

"Empat tahun berturut-turut kami menyalurkan sumbangan Tabung Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada sekolah terpilih bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar yang menduduki peperiksaan itu," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam PKMMNJ Daerah Ledang serta Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Koperasi Kontraktor dan Usahawan Melayu Ledang Berhad (Kopmel) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, dekat Tangkak.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop serta Yang Dipertua PKMMNJ, Mahmood Amir.

Zabridin berkata, pada penghujung 2010, persatuan menubuhkan Kopmel sebagai usaha memberi pulangan kepada ahli atas pelaburan yang dibuat dan berharap usahawan di Ledang terus maju dalam perniagaan.

Pada majlis itu, PKMMNJ Daerah Ledang turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tangkak, Tabung Kecemerlangan UPSR Sekolah Kebangsaan Parit Bunga (RM3,000), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam (PKAYIL) Ledang (RM3,000) dan Pusat Penjagaan Warga Emas Nur Ehsan 2, Parit Bunga (RM2,500).

Sementara itu, Abdul Ghani mempelawa ahli PKMMNJ di negeri ini menyertai projek membina penempatan semula untuk 2,000 keluarga di Pengerang yang terbabit pembangunan hab minyak dan gas.

Katanya, kerajaan negeri diberi tanggungjawab untuk membina penempatan bagi memindahkan keluarga yang terbabit projek itu di atas tanah seluas 202 hektar.

Menurutnya, projek penempatan itu perlu disiapkan menjelang Mac 2013.

SUMBER: HARIAN METRO, 02 MEI 2012

Tiada ulasan: